Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, penamatan Surat Setuju Terima (SST) projek Klang Valley Double Track 2 (KVDT2) dibuat oleh Kabinet.

Menteri Pengangkutan itu berkata, walaupun perjanjian rasmi projek itu belum ditandatangani, beliau tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan sendiri.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mempertimbangkan pelbagai input termasuk pandangan Jabatan Peguam Negara.

“Kementerian Pengangkutan telah menyenaraikan baik buruk dalam mempertahankan keputusan yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan penamatan SST dalam Memorandum Kabinet yang berkenaan.

“Ketika mengesahkan minit berkaitan keputusan itu pada 2 September lalu, Kementerian Pengangkutan turut mengemukakan pandangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pihak berkuasa itu mengesahkan perolehan projek KVDT2 zaman PH tidak dilaksanakan mengikut prosedur perolehan kerajaan semasa dan merumuskan projek tersebut sepatutnya ditawarkan secara tender terbuka,” katanya dalam ucapan penggulungan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Parlimen, hari ini.

Mengenai tuduhan dalam afidavit Ketua Pegawai Eksekutif syarikat DM-LTAT, Ka Siong berkata, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke telah berbohong dan memfitnahnya.

Kata beliau, selepas menerima afidavit tersebut, beliau telah meminta nasihat undang-undang dan dinasihatkan supaya membersihkan namanya melalui proses perundangan.

Ini kerena, afidavit itu dilindungi oleh absolute privilege principle, tetapi beliau menjangkakan perkara itu akan dipolitikan.

“Saya tidak sangka Seremban (Anthony) yang mempolitikkannya, memandangkan rekod beliau yang memperjuangkan tender terbuka bagi projek KVDT2 sebelum ini.

“Saya telah memaklumkan Jemaah Menteri mengenai kewujudan afidavit tersebut pada 6 November lalu dan pegawai yang bersama saya dalam perjumpaan dengan syarikat tersebut juga telah membuat laporan polis untuk menolak segala tuduhan fitnah itu,” katanya.

Serentak itu, beliau mencabar Anthony yang merupakan bekas Menteri Pengangkutan di zaman kerajaan PH untuk mengulangi tuduhan atau sindirannya di luar Dewan Rakyat, bahawa beliau telah menamatkan SST kepada syarikat DM-LTAT untuk kepentingan peribadi.

Beliau pasti akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Seremban itu untuk membersihkan namanya.

– MalaysiaGazette