Pengumuman bahawa setiap parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan lambang masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 jelas menunjukkan hubungan mereka bagai ‘retak menanti belah’. Situasi ini dapat dilihat apabila mereka gagal mencapai matlamat parti mereka sendiri dan akan mula menyalahkan antara satu sama lain. Kegagalan PH tidak dijadikan sebagai pedoman untuk mereka bertambah kuat dan kukuh, sebaliknya menjadikan mereka bertambah goyah dengan masing-masing mencari haluan sendiri.

Tidak dapat dinafikan bahawa hubungan parti-parti dalam PH hanyalah bersandarkan kepada kepentingan peribadi pemimpin-pemimpin mereka. Jika ada kepentingan, baharulah mereka bersatu. Namun, apabila sesuatu perkara itu tidak menguntungkan, maka mereka akan saling bercakaran dan menyalahkan sesama sendiri.

Wajah sebenar PH ini dapat dilihat dengan jelas apabila mereka mendapat kuasa memerintah negara. Pelbagai drama politik tercetus akibat perebutan kuasa sesama mereka dalam PH sehingga mengakibatkan negara berdepan krisis politik pada awal tahun 2020 yang turut mengabaikan rakyat ketika COVID-19 melanda negara.

PH pernah diberi peluang untuk memerintah negara ini, tapi mereka tidak mampu untuk menunjukkan pencapaian yang membanggakan tambahan pula dengan adegan perebutan kuasa. Mandat yang diberikan oleh rakyat kepada mereka disia-siakan dan akhirnya membawa kepada perpecahan dan keruntuhan sebuah kerajaan.

PH mungkin beranggapan bahawa ‘katak politik’ adalah faktor kepada kejatuhan mereka. Hakikatnya, perebutan kuasa yang berlaku di dalam PH tetap menjadi faktor utama tumbangnya kerajaan PH. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed ketika PH mentadbir, terpaksa menggunakan campur tangan pihak Istana susulan tercetusnya pembelotan akibat daripada pengagihan kuasa yang tidak dapat memuaskan hati sesetengah pihak dalam kalangan pemimpin PH.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH masih lagi memikirkan sama ada ingin terus menggunakan simbol yang sama pada pilihan raya umum akan datang atau sebaliknya. Untuk PRN Sarawak, parti-parti komponen PH dikatakan mahu menggunakan logo parti masing-masing, tetapi persoalannya, adakah ia akan diteruskan untuk siri pilihan raya akan datang?

Sejak awal lagi, rakyat di segenap lapisan masyarakat tidak optimis dengan PH dan Tun Dr Mahathir. Malah, ada yang meramalkan negara ini akan menjadi kucar-kacir dan kacau-bilau jika mereka bekerjasama. Tetapi, DAP telah berjaya mengaburi mata rakyat dengan melakukan pelbagai helah untuk menutup penipuan Tun Dr. Mahathir.

Semua ramalan mengenai Ahli Parlimen Langkawi itu ternyata benar. DAP cuba mengelak penipuan itu. Lidah rasmi DAP, The Rocket sepatutnya memohon maaf kerana menyembunyikan kebenaran daripada rakyat Malaysia.

Sepanjang 22 bulan pentadbiran PH, rakyat dapat melihat sendiri kerakusan PH yang hanya membazir masa dengan perebutan kuasa sesama mereka. Tiada pembangunan negara, ekonomi semakin merundum sehingga memberi kesan kepada mata pencarian rakyat.

Lau Chin Kok
Ahli Jawatankuasa Pusat MCA
30 November 2021

-MCA online