Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R Ramanan perlu sedar hak mengundi dan tabiat merokok merupakan dua perkara yang berbeza.

Satu perkara melibatkan hak rakyat dan satu lagi melibatkan kesihatan yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Apabila remaja berusia 18 tahun dibenarkan untuk mengundi, ini akan memdedahkan golongan muda terlibat dalam politik. Ini pastinya akan mewujudkan lebih banyak sudut pandangan yang lebih segar mengenai senario politik di negara ini.

Tetapi, jika dasar Generasi Penamat Rokok (GEG) ditolak, ia bukan hanya memberi kesan kepada si perokok, malah melibatkan pihak lain. Sudah pasti, tabiat merokok yang melampau akan menjejaskan kesihatan masyarakat.

Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang boleh memberi kebaikan dan menjaga kebajikan rakyat. Jelas, merokok ini membawa pelbagai keburukan, jadi sebagai pemimpin gunakanlah 'kuasa' itu untuk jauhkan perkara buruk ini daripada rakyat.

Ryan Ho
Jurucakap Pemuda MCA
12 Jun 2023