MCA menggesa DAP memohon maaf kerana pernah menggelar ahli parti itu sebagai ‘anjing UMNO’ dan pengkhianat ekoran menerima adat resam dan pakaian seragam berlandaskan tradisi Melayu.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, DAP telah pun memohon maaf kepada Gabungan Parti Sarawak, UMNO dan beberapa parti lain namun tidak kepada MCA dan MIC.

“Mengapa DAP tidak meminta maaf kepada MCA dan MIC yang menjadi sasaran serangan utama mereka kerana bekerjasama dengan UMNO demi mencari titik pertemuan masyarakat kita yang kepelbagaian,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Lian Ker berasa bangga kerana veteran DAP, Lim Kit Siang akhirnya memakai songkok sebagai pakaian protokol dan istiadat seperti dilaporkan berita hari ini.

“Tahniah kepada Kit Siang. Saya rasa bangga  akhirnya dia memakai songkok sebagai pakaian protokol dan istiadat.

“Saya masih ingat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Triang, Leong Ngah Ngah  enggan memakai pakaian seragam ADUN semasa istiadat dan songkok atas alasan larangan parti DAP semasa Kit Siang jadi Setiausaha Agung DAP,” katanya.

Tambah beliau, semangat meminta maaf adalah cara terbaik ke arah penyatuan dan pengukuhan Kerajaan Perpaduan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan ke arah pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Terdahulu hari ini, Kit Siang dilaporkan akan dikurniakan gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke-64 esok.

Bekas ketua pembangkang  dan bekas ahli Parlimen itu akan menjadi pemimpin DAP pertama yang dianugerahkan gelaran tersebut yang merupakan anugerah persekutuan kedua tertinggi selepas gelaran Tun.

Foto Kit Siang menghadiri raptai majlis penganugerahan darjah kebesaran itu dikongsi oleh Jeff Ooi Chuan Aun di Facebook beliau.

– MalaysiaGazette