6 September 2018

Kenyataan Media Naib Pengerusi Wanita MCA Senator Dato’ Ong Chong Swen

Keputusan menangguh HSR lebih banyak keburukan berbanding kebaikan

Penangguhan Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) KL-Singapura hingga tahun 2020 akan menyebabkan negara ketinggalan potensi pembangunan yang tidak ternilai untuk 15 bulan. Tambahan lagi, ia turut diumumkan bahawa Malaysia akan menanggung bayaran pampasan sebanyak RM45 juta.

Adakah bayaran pampasan tersebut berbaloi, atau adakah ia lebih berbaloi untuk meneruskan projek HSR dan menerima manfaat daripadanya? Projek HSR tidak patut ditangguhkan pada mula-mula lagi. Sekarang, kawasan-kawasan yang bakal menerima limpahan ekonomi daripada laluan HSR terpaksa menunggu 15 bulan lagi. Dalam tempoh itu, banyak perkara boleh terjadi. Malah, projek HSR mungkin juga akan dibatalkan sepenuhnya.

Selain membangungkan bandar-bandar kecil di sepanjang laluannya, projek HSR juga akan membantu mengurangkan kesesakan di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia –Singapura yang melihat pertumbuhan pesat pengguna jalan raya sehingga sudah melebihi kapasitinya.   

Adakah kerajaan Pakatan Harapan mengambil kira bahawa kos binaan dan nilai hartanah yang harus diambil alih juga akan meningkat pada tahun 2020, sekaligus menambahkan lagi kos HSR berbanding anggaran awal RM40 bilion.

Bukankah kerajaan Pakatan Harapan mendakwa kononnnya “hutang negara terlalu tinggi”? Bukankah lebih baik meneruskan projek HSR yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara, dan bukannya menangguhkannya, malah terpaksa membayar pampasan lagi?

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dato’ Seri Azmin Ali juga digesa menjelaskan dakwaannya bahawa kos pembinaan HSR mencecah RM72 bilion berbanding RM40 bilion yang diumumkan kerajaan BN pada awal tahun ini.

Adakah kos binaan hanya satu alasan untuk projek-projek mega dibawah BN dibatal ataupun ditangguh, sepertimana yang telah dibuat kepada projek MRT3, ECRL dan LRT3?

Senator Dato’ Ong Chong Swen
Naib Pengerusi Wanita MCA

-MCA online-