Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) didakwa sengaja mencetuskan isu perkauman dan kenegaraan terhadap majlis pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diadakan, baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, hubungan dan kerjasama terjalin antara Malaysia dengan China, adalah perkara yang mendatangkan manfaat kepada kedua-dua negara.

"Projek ECRL mampu mempergiatkan ekonomi Pantai Timur. Laluan rel ini adalah laluan penting kepada Pantai Timur pada masa akan datang.

"Ada pihak yang cuba mempermainkan isu bahasa dan perkauman sehingga boleh menjejaskan hubungan antara Malaysia dengan China," kata Tiong Lai seperti dipetik dalam Oriental Daily.

Tiong Lai berkata demikian, mengulas kenyataan Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali yang menganggap pemimpin kerajaan sekarang sanggup gadai maruah negara dan bangsa demi projek pembangunan.

“Kelihatan bendera sepanjang jalan dalam bahasa Mandarin. Satu bendera Malaysia (Jalur Gemilang) pun tak ada.

"Apakah tidak dibenarkan bendera Malaysia diletak atau digantung untuk majlis tersebut?” soal Syed Hassan.

Menurut Tiong Lai, semua pihak perlu berhati-hati dengan tindakan segelintir orang yang cuba merosakkan hubungan antara Malaysia dengan China tanpa menghiraukan kepentingan masa depan serta perkembangan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir merasmikan majlis pecah tanah projek ikonik di Kuantan yang bakal menghubungkan ibu negara dan negeri-negeri di Pantai Timur.

Jaringan perkhidmatan tren baharu itu bakal merentasi Banjaran Titiwangsa bernilai RM55 bilion membabitkan laluan sepanjang 688 kilometer (km).

Ia adalah sebahagian daripada pelan induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi memacu pembangunan yang setara antara Pantai Barat dan Pantai Timur Malaysia.

Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang dirancang kerajaan persekutuan bakal meningkatkan daya saing produk dan perkhidmatan dari negeri-negeri Pantai Timur.

Pelaksanaan projek mega ini dipercayai mampu menjadi pemangkin ekonomi yang meningkatkan pendapatan industri dan perniagaan di sepanjang laluan berkenaan.

Pengusaha pengangkutan lori di Pantai Timur memberitahu Nanyang Siang Pau, apabila siapnya laluan itu kelak, ia akan dapat menyambung sehingga ke pelabuhan, sekali gus merancakkan lagi semua sektor perniagaan, termasuk sektor pengangkutan lori.

Mereka beranggapan, ECRL tidak akan menjejaskan sektor pengangkutan lori, sebaliknya ia akan meningkatkan peluang lebih besar kepada industri berkenaan.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuantan, Datuk How Chee Lean berkata, memang tidak dinafikan projek ECRL adalah projek penting bagi Malaysia kita yang sedang melancarkan transformasi nasional.

"Ia bukan sahaja akan menguntungkan rakyat di pantai timur, tetapi juga rakyat di pantai barat yang mendekatkan perjalanan antara dua kawasan," katanya.

-Sinar Harian-