Kenderaan utiliti sukan (SUV) buatan Zhejiang Geely Holding Group (Geely), Boyue yang akan memasuki pasaran Malaysia menerusi pakatan strategik dengan Proton Holdings Bhd. (Proton) bakal merangsang minat orang ramai terhadap jenama Proton.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong berkata, kenderaan SUV tersebut akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai apabila diperkenalkan memandangkan reka bentuknya yang menarik.
“Melalui kerjasama antara Geely dan Proton, banyak produk-produk kenderaan baharu yang bakal diperkenalkan dalam pasaran negara ini.
“Contoh terbaik ialah kenderaan SUV Boyue yang mendapat perhatian ramai apabila diperkenalkan dan kerjasama ini memberikan pembaharuan dari segi pengeluaran kenderaan Proton,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Abdullah Mat Yasim dalam sidang Dewan Negara hari ini.
Menurut Tee Yong, kerjasama strategik antara Proton dan Geely membuktikan para pelabur masih yakin dengan perkembangan ekonomi di negara ini.
“Selain itu, melalui produk baharu seperti kenderaan SUV, Proton dapat meluaskan pasaran sedia ada dan menjadikan Proton sebagai pusat pengeluaran kenderaan bagi pemanduan di sebelah kanan,” ujarnya.
-Utusan Malaysia-