"Alhamdulillah, saya anggap ini sebagai rezeki bulan Ramadan yang penuh barakah apabila akhirnya menerima taraf kewarganegaraan Malaysia", kata Muhammad Rahul Danish Abdullah, 10.

Muhammad Rahul berkata, dia menerima khabar gembira pada minggu lalu selepas lebih tiga tahun turun naik berurusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Saya harap selepas sah menjadi warga negara Malaysia dan mempunyai MyKid sendiri, saya dapat meneruskan persekolahan yang tertangguh.

"Sebelum ini saya tidak bersekolah kerana tiada pengesahan kelahiran di negara ini," katanya ketika ditemui ketika lawatan dan berbuka puasa bersama Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong di kediamannya di Taman Mewah Yong Peng dekat sini, malam tadi.

Katanya, dia berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mengejar cita-citanya bagi menjadi seorang ustaz atau tokoh agama.

"Saya bersyukur dan gembira kerana banyak pihak yang sudi membantu usaha saya untuk mendapatkan kewarganegaraan berkenaan dan berterima kasih kepada Datuk Seri Wee Ka Siong yang turut banyak membantunya," katanya.

Sementara itu, ibu angkatnya, Nur Armirasari Baharin, 36, berkata, Muhammad Rahul diberikan oleh ibu kandungnya yang juga kenalannya seorang warga negara Indonesia ketika usianya dua bulan.

"Saya dan suami (Abd Rahman Mohidin, 48) amat menyayangi Rahul dan sudah menganggap dia macam anak sendiri kerana kami tidak mempunyai anak. Dia adalah penyeri hidup kami," katanya.

Menurutnya kini masalah kewarganegaraan Muhamamad Rahul sudah selesai dan mahu segerakan membuat MyKid sekali gus mendaftarkannya bersekolah.

-Harian Metro-