Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok cuba menegakkan benang basah apabila menafikan turun-naik harga minyak kelapa sawit mempunyai hubung kait dengan hubungan diplomatik di antara Malaysia dengan negara-negara pembeli seperti China dan India.

Dalam catatan Facebooknya, Teresa Kok sendiri menyenaraikan beberapa faktor yang mempengaruhi harga minyak sawit antarabangsa, yang ironinya, termasuk faktor permintaan dan penawaran.

Beliau gagal memahami hakikat bahawa negara-negara pembeli, terutamanya negara besar seperti China dan India, biasanya lebih gemar berurusan dengan negara pengeluar yang mempunyai hubungan baik dengan mereka.

Negara-negara besar ini membeli dalam kuantiti yang banyak dan boleh beralih kepada negara lain pada bila-bila masa apabila hubungan diplomatiknya dengan Malaysia menjadi dingin kerana kita bukanlah satu-satunya negara pengeluar minyak sawit di dunia.

Apabila ini berlaku, Malaysia perlu mencari pasaran baharu yang setimpal saiznya untuk mengekalkan jumlah eksport minyak sawit, sekali gus mengelakkan lambakan yang menjejaskan harganya. Teresa Kok tentunya sedar, pasaran sebesar China dan India amat sukar dicari ganti.

Akibat kefahaman yang cetek terhadap sentimen negara-negara pembeli minyak sawit, Teresa Kok dilihat sentiasa buntu dalam mencari jalan penyelesaian yang praktikal bagi menangani harga minyak sawit yang tidak memberangsangkan, ketika beliau menjadi Menteri Komoditi Utama dahulu.

Kempen minum minyak sawit satu sudu sehari dan saranan supaya penanaman sawit diganti dengan pokok buluh merupakan dua bukti kukuh kejahilan pemimpin DAP terhadap pasaran minyak sawit.

Teresa Kok dan pemimpin DAP sepatutnya berterima kasih dan memuji kerajaan hari ini yang berjaya memulihkan keadaan, serta memberi sinar baharu kepada pekebun-pekebun kecil yang menderita ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan.

Lau Chin Kok
Ahli Jawatankuasa Pusat MCA
7 Februari 2022