Jambatan Sungai Pulai yang menghubungkan Johor Bahru-Pontian dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Lee Ting Han berkata projek pembinaan jambatan baharu dengan kos RM700 juta itu dijangka merancakkan pertumbuhan sosio-ekonomi Pontian.

Katanya, lokasi jambatan itu berhampiran dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) sekali gus mampu menjana pertumbuhan ekonomi penduduk kawasan itu. 

"Jambatan sepanjang 7.5 kilometer itu akan memendekkan tempoh masa perjalanan dari Johor Bahru ke Pontian dari satu jam kepada 15 minit sahaja.

"Ini secara langsung akan menggalakkan lagi aktiviti ekonomi dan seterusnya dapat meningkatkan lagi pendapatan serta taraf hidup warga setempat berikutan waktu perjalanan kini menjadi lebih pendek.

"Jambatan Sungai Pulai itu yang akan menghubungkan Gelang Patah dengan Tanjung Bin di Kukup, Pontian itu juga adalah antara satu daripada usaha dan komitmen kerajaan negeri dalam memangkin pembangunan sosio-ekonomi di Pontian supaya lebih membangun setara dengan kawasan bandar," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri untuk menarik pelabur datang dan pembangunan yang akan dilakukan apabila jambatan baharu itu siap.

-Harian Metro-