ECRL: MOT sedia kerjasama dengan kerajaan negeri
Industri rel sasar guna 45 peratus kandungan tempatan  

ECRL: Kenyataan EXCO Selangor bermotif politik

Pada Khamis    08-04-2021 09:30:00

Pengerusi Port Klang Free Zone (PKFZ), Datuk Dr Lawrence Low menyifatkan kenyataan EXCO Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkenaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bermotifkan politik.

Beliau berkata, penegasan Chang Khim bahawa kerajaan negeri tidak akan memberi kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan bagi perolehan tanah jika Jajaran Utara ECRL dilaksanakan jelas demi kepentingan peribadi.

"Soal kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi negara secara menyeluruh seharusnya dilihat sebagai keutamaan selain projek ECRL itu nanti tidak akan memberi kesan negatif terhadap alam sekitar, perkampungan Orang Asli dan kawasan tadahan air.

"Tetapi apa yang menjadi igauan ngeri rakyat Selangor adalah mengenai masalah bekalan air sehingga menyusahkan kehidupan seharian sejak bertahun-tahun di bawah pemerintahan Pakatan Harapan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Chang Khim mengkritik Ka Siong kerana bertegas melaksanakan Jajaran Utara ECRL.

Seperti dilaporkan, beliau menyifatkan Putrajaya bertindak seakan 'pembuli besar' selain mengatakan kerajaan negeri tidak akan membantu perolehan tanah untuk projek berkenaan.

Mengulas lanjut Low berkata, pelaksanaan Jajaran Utara tidak akan memasuki Empangan Batu yang menjadi antara empangan membekalkan air kepada penduduk Selangor dan Lembah Klang, serta mengelak daripada kawasan berpenduduk padat di Gombak.

Katanya, pada masa yang sama, perlu juga untuk memastikan kesan terhadap penduduk dapat diminimumkan seperti dijelaskan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam sidang media Isnin lalu.

"Beliau menjelaskan walaupun terdapat sehingga tujuh hutan simpanan yang mungkin dilalui ECRL di bawah Jajaran Utara, beberapa terowong sepanjang 15.22 kilometer akan dibina untuk mengurangkan penebangan hutan simpan itu.

"Jajaran Selatan juga turut berhadapan dengan cabaran ini dengan kesan yang sama," katanya.

Katanya, bagi kawasan membabitkan tanah Orang Asli, kemungkinan hanya dua kawasan terbabit di Jajaran Utara berbanding tujuh kawasan di Jajaran Selatan.

"Jajaran Utara juga hanya memberi kesan kepada 11 kawasan perumahan di sepanjang 201 kilometer jajaran dari Mentakab ke Pelabuhan Klang berbanding Jajaran Selatan yang akan menjejaskan 19 kawasan perumahan.

"Jajaran yang berhubung dengan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Jalan Kastam, Pelabuhan Klang menerusi Jajaran Utara juga akan menjadi Stesen Jalan Kastam sebagai platform yang strategik bagi perkhidmatan penghantaran kargo ke destinasi (last-mile connectivity) ke Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat sekali gus memberi banyak manfaat kepada ekonomi," katanya.

Katanya, itu adalah satu langkah terbaik bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan pengangkutan di negara ini selain membolehkan perkhidmatan KTMB dapat diintegrasikan dalam keseluruhan projek berkenaan menerusi laluan pintasan dari Serendah ke Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, jajaran itu bakal melengkapkan penubuhan hub kargo nasional di Serendah serta meningkatkan kecekapan perjalanan kargo bagi KTMB dan ECRL.

"Seperti kita sedia maklum, nisbah pendapatan ECRL adalah 70 peratus kargo dan 30 peratus penumpang. Oleh itu jelas ini adalah langkah terbaik untuk meningkatkan kecekapan kargo ECRL melalui pembinaan Jajaran Utara," katanya.

Low berkata, Jajaran Utara bukan sahaja lebih unggul dari semua aspek tetapi turut membawa manfaat ekonomi yang lebih signifikan kepada negara dan rakyat secara keseluruhan.

"Oleh itu, Kerajaan Selangor didesak supaya tidak terlalu bermain politik untuk kepentingan peribadi, lebih-lebih lagi dilihat sengaja cuba menggagalkan usaha murni Kerajaan Persekutuan tanpa memberikan sebab dan justifikasi secara profesional.

"Menjadikan sektor ekonomi sebagai agenda bagi memenuhi kepentingan politik hanya akan merugikan rakyat," katanya.

-Berita Harian-

Berita Berkatian

ECRL 3.0 : MCA 'sekolahkan' pembangkang, pulang paku buah keras

ECRL 3.0: Menyangkal berita palsu Pakatan Harapan

ECRL: MOT sedia kerjasama dengan kerajaan negeri

Liow Tiong Lai Sambut Baik Keputusan Guna Semula Laluan Asal ECRL

ECRL diubah semula ke laluan asal, anggaran kos RM50 bilion, kata menteri