MCA tidak mahu Malaysia jadi 'tong sampah' dunia
MCA menolak sekeras-kerasnya cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengkaji dan membangunkan industri rawatan sampah plastik di negara ini.
Jurucakap MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata Malaysia masih belum terdesak sehingga perlu menerima sampah-sampah negara asing untuk meningkatkan pendapatan negara.
"Adakah negara kita sudah bersedia untuk menerima lebih banyak sampah plastik? Adakah kita mempunyai perancangan dan prosedur operasi standard (SOP) yang baik untuk menangani kemasukan sampah plastik ini bagi memastikan tidak berlakunya pencemaran alam sekitar?," katanya pada sidang media di Wisma MCA hari ini.
Mike yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Biro Publisiti MCA turut menegaskan KPKT seharusnya memberi fokus kepada timbunan sampah dalam negara yang masih lagi belum ada perancangan penyelesaian yang baik.
"Kami berpendapat KPKT perlu memberi perhatian kepada timbunan sampah dalam negara yang sehingga sekarang ini masih belum ada jalan penyelesaian terbaik. Tidak perlu menerima sampah-sampah dari negara luar kerana ia akan menjejaskan negara dan juga generasi akan datang.
"Jangan kerana keuntungan di depan mata, sehingga kesihatan dan kesejahteraan rakyat kita dikorbankan," tegasnya lagi.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata kerajaan (pada mulanya) mahu mengenakan fi RM20 bagi setiap tan sampah yang diimport ke Malaysia dan turut mengatakan ia merupakan industri yang menguntungkan kerana ia dapat menjana pendapatan negara.
Dalam masa yang sama, Mike Chong turut mempersoalkan mengenai bilangan AP yang telah diluluskan untuk pengimportan sampah plastik.
"Mengikut statistik terkini, sebanyak 71 AP telah diluluskan untuk pengimportan sampah plastik, iaitu pertambahan sebanyak 9 AP berbanding 62 AP di zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH). Jadi, kami ingin tahu adakah AP ini ada hadnya atau akan bertambah tanpa ada had maksimum?
"KPKT perlu mengurangkan pengimportan sampah dan merawat sampah plastik, dan bukan lagi memberi AP baru," katanya.
Susulan itu, MCA akan menyerahkan memorandum bantahan dalam masa terdekat kepada pihak KPKT untuk menyatakan bantahan mereka berhubung cadangan untuk mengimport sampah plastik dari negera luar ke negara ini.
"Kita tidak mahu Malaysia menjadi 'tong sampah' dunia sekiranya perancangan ini betul-betul dilaksanakan," ujarnya.
-MCA online-