Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong tidak yakin tol motosikal Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) mansuh seperti yang diumumkan kerajaan.

Ini kerana kerajaan mungkin perlu membayar RM20 juta kepada konsesi tol setiap tahun bagi membolehkan penunggang motosikal tidak dikenakan tol.

“RM20 juta ini sama seperti tindakan kerajaan PH yang mengutip cukai petrol setiap hari secara senyap apabila tidak menurunkan harga 30 sen seliter sejak 2 bulan lalu.

“Bolehkah Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjelaskan perkara ini?,” katanya di Facebook hari ini.

Semalam, Guan Eng dilaporkan berkata pemansuhan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) merupakan langkah awal dalam pemansuhan tol secara keseluruhan.

Beliau berkata, pemansuhan tol itu sebahagian usaha kerajaan Pakatan Harapan memenuhi manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Menurutnya, kerajaan sedang berusaha memulihkan keadaan ekonomi dan kewangan negara bagi membolehkan semua janji manifesto dipenuhi.

-Free Malaysia Today-