Sempena Hari Wesak ini, MCA mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada semua penganut agama Buddha di negara ini.

Perayaan tahun ini juga amat istimewa, kerana kita masih dalam suasana Hari Raya dan majlis hari terbuka yang diadakan sempena Hari Raya.

Gabungan dua perayaan keagamaan yang berbeza ini menyerlahkan lagi keunikan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk di mana kepelbagaian kita diraikan sebagai kekuatan, dan bukannya halangan kepada perpaduan.

Resipi kejayaan Malaysia ini antara lain ialah tanda kejayaan sistem pendidikan negara kita, di mana sikap saling hormat-menghormati dan toleransi diterapkan dalam diri kita sejak zaman sekolah rendah lagi.

Di mana-mana pun negara majmuk, semangat keharmonian, rasa hormat sesama masyarakat berbilang kaum, dan penerimaan terhadap perbezaan satu sama lain adalah nilai-nilai penting yang wajar dipupuk demi memastikan keamanan dan perpaduan negara, dan Malaysia merupakan sebuah negara contoh yang terbaik.

MCA selaku salah sebuah parti pengasas Malaysia amat komited untuk memastikan keharmonian dan keadilan dijamin untuk semua rakyat tanpa mengira kaum, dan kami telah mengangkat prinsip ini sejak dari dulu lagi, dan semangat kami untuk terus mempertahankan keamanan negara tidak akan luntur.

Kita memang bertuah kerana keunikan kemajmukan Malaysia memberi kita peluang untuk mengenali setiap agama yang berbeza dan tradisi keagamaan selain budaya kaum lain, dan ini secara tidak langsung mengajar kita untuk menjadi lebih inklusif dan terbuka – nilai-nilai yang menjadikan Malaysia sebagai tarikan pelancongan dan pelaburan dari negara-negara asing.

Justeru itu, marilah kita bersama-sama mengekalkan hubungan yang harmonis sesama kaum dan agama, dan mengelakkan sifat benci membenci antara satu sama lain, dan ketepikan rasa curiga dan prejudis.

Seiring dengan konsep Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, kita perlu sentiasa bersikap rasional dan saling menghormati, cari persamaan sesama kita dan berusaha untuk memelilhara keamanan dan kedamaian negara.

Cally Ting Zhao Song
Pengerusi Biro Perhubungan Etnik dan Hal-Ehwal Agama
15 Mei 2022

- MCA Online