MCA memandang serius akan dakwaan rasuah yang membabitkan perolehan dan pembelian peralatan perubatan serta ubat-ubatan oleh sektor perkhidmatan kesihatan negara seperti yang dilaporkan dalam akhbar semalam.

Laporan tersebut turut mendakwa bahawa pegawai penguatkuasa yang ditugaskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut menyalahgunakan kuasa dalam pengagihan bantuan dan pakej rangsangan.

Malah, kualiti dan kuantiti peralatan perlindungan perubatan yang dibeli sepanjang pandemik juga dikatakan terkait dengan rasuah.
MCA sentiasa memandang serius isu rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.

Hal ini kerana isu rasuah dan salah guna kuasa adalah faktor utama yang menyebabkan ketirisan, sekali gus merugikan ekonomi negara.

Hubung kait antara rasuah dan ketirisan ekonomi negara sangat rapat.

Sebagai contoh, isu rokok haram yang membanjiri pasaran tempatan yang disebabkan rasuah dalam kalangan segelintir pihak yang tidak amanah dan tidak jujur menjalankan tanggungjawab mereka telah menyebabkan negara kerugian cukai antara RM5 bilion hingga RM6 bilion setahun.

MCA yakin bahawa pihak Kementerian Kesihatan akan memberikan kerjasama dalam hal ini bagi memastikan ketelusan serta tadbir urus yang baik dikekalkan dalam Kementerian Kesihatan.

Kerjasama yang baik daripada semua pihak juga dapat memastikan mereka yang terlibat dalam salah guna kuasa akan dibawa ke muka pengadilan.

Serentak dengan itu, Kementerian Kesihatan juga digesa menambah baik mekanismenya menerusi pelan antirasuah organisasi (Organisational Anti-Corruption Plan, OACP) yang sedia ada bagi mempertingkat tadbir urus serta memastikan isu ini tidak berulang lagi.

Pada dasarnya, tadbir urus yang baik akan membolehkan sesebuah organisasi mengharungi semua cabaran.

Setiap kali berlakunya rasuah, bukan sahaja kerajaan yang akan menanggung kerugian besar, tetapi rakyat turut menerima kesan negatif kerana kerajaan tidak dapat menyediakan dan menyalurkan perkhidmatan yang terbaik dan sewajarnya untuk rakyat.

MCA menggesa semua pihak, khususnya golongan pemimpin dan setiap komponen barisan pekerja untuk sentiasa memikul tanggungjawab masing-masing dengan penuh tanggungjawab, jujur dan amanah.

Prinsip menjalankan tanggungjawab dan amanah secara telus, berakauntabiliti dan berhemat dalam kerangka amalan integriti yang tinggi adalah tanda aras yang perlu dicapai agar Malaysia lebih cemerlang di masa hadapan.

CHAN QUIN ER
JURUCAKAP MCA

- MCA online