Sebanyak lima projek lebuh raya sedang di dalam peringkat pembinaan di bawah skop dan tanggungjawab Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Lima projek itu ialah Lebuhraya Pantai Barat (WCE); Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Klang (SUKE); Lebuhraya Setiawangsa – Pantai (SPE); Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE); dan Lebuhraya Maju Expressway 2 (MEX2).

Selain itu, sebanyak tujuh lebuhraya baharu telah mendapat kelulusan prinsip dan sedang di dalam semakan serta penelitian aspek teknikal dan kewangan.

Cadangan lebuhraya baharu itu ialah Cadangan Projek Putrajaya – Bangi (PBE); Cadangan Projek West Ipoh Span Expressway (WISE); Cadangan Projek DUKE Fasa 2A (DUKE 2A); Cadangan Projek Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway (KLNODE); Cadangan Projek Senawang – KLIA (SKLIA); Cadangan Projek Paroi – Senawang Link (PSL); dan Cadangan Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai 2 (NPE2).

Bagi cadangan lebuh raya baharu yang telah ditandatangani Perjanjian Konsesi (Concession Agreement - CA) dan sedang di dalam proses memenuhi Syarat-Syarat Duluan (Conditions Prescedent – CP) pula adalah Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link).

Perkara itu dijelaskan oleh KKR dalam pemberitahuan pertanyaan lisan Dewan Rakyat pada Selasa lalu bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong.

Ka Siong bertanya berapa banyak lebuh raya bertol dan tidak bertol yang sedang dan akan dibina di seluruh Malaysia dan bagaimana KKR menyelesaikan masalah “bottleneck” sehingga tahap perkhidmatan jalan (Level of Service - LOS) mencapai status F di kawasan pertembungan lebuh raya-lebuh raya yang berlainan.

Menurut KKR, bagi memastikan tiada isu “bottleneck” di kawasan pertembungan lebuh raya-lebuh raya yang berlainan, ianya adalah berdasarkan kepada Laporan Penilaian Impak Trafik (Traffic Impact Aasses - TIA) selain memastikan rekabentuk lebuh raya akan dilaksanakan oleh Jurutera Perunding yang bertauliah supaya aliran trafik lancar selepas lebuh raya dibuka kepada orang ramai.

- MCA Online