’Lawak’ biadap Jocelyn dikecam, harap jadi iktibar

Tular di media sosial mengenai tindakan seorang pelawak, Jocelyn Chia yang seolah-olah mempersenda tragedi MH370 dan MH17.

Lawak beliau dianggap orang ramai sebagai tidak sensitif, tidak bertanggungjawab, dan tidak mengambil kira perasaan keluarga mangsa, sekaligus menyebabkan beliau dikecam netizen bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga Singapura.

Selain itu, di dalam video berdurasi seminit setengah tersebut, Jocelyn Chia juga telah mempersendakan Malaysia yang didakwa masih sebuah negara membangun sementara Singapura telah menjadi negara maju, serta memperlekehkan Malaysia kononnya tidak ada internet, selain melempar kata-kata kesat terhadap seorang penonton yang berasal dari Malaysia.

Susulan itu, Timbalan Pengerusi Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Neow Choo Seong telah meluahkan perasaan kesal bahawa Jocelyn begitu terdesak sehingga terpaksa membuat lawak mengenai perkara sensitif. Namun begitu, Neow juga meluahkan keyakinannya bahawa sikap Jocelyn tidak mewakili keseluruhan rakyat Singapura.

Manakala Timbalan Bendahari Agung MCA, Datuk Ir Lawrence Low di dalam laman Facebook beliau juga menggesa Jocelyn supaya memohon maaf kepada semua keluarga mangsa tragedi MH370 dan MH17 kerana menjadikan kisah sedih tersebut sebagai bahan lawak.

Setakat ini, semakan di akaun media sosial Jocelyn mendapati bahawa video tersebut masih disiarkan, tetapi ruangan komen telah ditutup.

Terbaharu, Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia, TYT Vanu Gopala Menon turut menyesali sikap tidak sensitif Jocelyn, dan menekankan bahawa kata-kata Jocelyn tidak mewakili keseluruhan rakyat Singapura, di samping menekankan hubungan mesra antara kedua-dua negara Malaysia-Singapura. Dalam kenyataan sama, Vanu juga mendedahkan bahawa Jocelyn bukan lagi seorang warganegara Singapura.

Diharapkan Jocelyn insaf dan memadamkan video tersebut, serta belajar dari kesilapannya supaya tidak menyentuh sensitiviti orang lain, terutamanya apabila ia berkenaan tragedi yang melibatkan kehilangan nyawa.

-MCA Online-