CRSM kutip derma melalui platform GoCare bantu mangsa banjir
MoT benar guna kenderaan sendiri hantar barangan, makanan  

Lim Guan Eng yang pencilkan Pulau Pinang, hentikan sandiwara

Pada Sabtu    09-01-2021 11:12:00

9 Januari 2021

Kenyataan media Naib Presiden MCA Datuk Tan Teik Cheng

Lim Guan Eng yang pencilkan Pulau Pinang, hentikan sandiwara

Ketika Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan dahulu, beliau telah banyak memencilkan Pulau Pinang, tapi sekarang cuba untuk membakar sentimen orang ramai dengan berpura-pura melobi peruntukan bagi negeri tersebut, tanpa rasa malu.

Serangan pandemik COVID-19 pada tahun lepas telah membawa pelbagai cabaran kepada ekonomi negara, justeru kerajaan pusat tiada pilihan melainkan menghenti atau menangguhkan pelaksanaan sebahagian projek infrastuktur.

Tetapi pada waktu sukar begini, tergamak pula bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu melakukan gimik politik dan menyifatkan projek-projek yang dibatal atau ditangguhkan kerajaan sebagai ‘balas dendam politik’, ini adalah fitnah dan tidak boleh diterima sama sekali!

Jika rakyat Pulau Pinang dipinggirkan seperti yang didakwa, tentunya ia dilakukan oleh Guan Eng sendiri selaku bekas Menteri Kewangan dan bekas Ketua Menteri, kerana Ketua Menteri Pulau Pinang sekarang, Chow Kon Yeow sendiri telah mengakui bahawa Pulau Pinang masih diabaikan dan tidak mendapat peruntukan lebih, walaupun Pakatan Harapan (PH) menguasai kerajaan pusat.

Rakyat Pulau Pinang tidak mungkin lupa, bagaimana Guan Eng 'membalas budi' Pulau Pinang setelah menjadi Menteri Persekutuan. Beliau sanggup memperuntukkan RM3.2 bilion bagi projek-projek mega di Kedah tetapi tidak sesen pun untuk Pulau Pinang menyebabkan negeri itu terpaksa membuat pinjaman untuk membangunkan pelan induk pengangkutannya. Di manakah letaknya rasa malu Guan Eng? Masih ada hati hendak mencerca kerajaan Perikatan Nasional (PN)?

Tambahan lagi, Guan Eng mendakwa kononnya 4 projek mega negeri itu ‘dibatalkan’ kerajaan PN, sedangkan semuanya tidak benar, sebaliknya hanya berniat jahat memfitnah kerajaan PN semata-mata. Hakikatnya adalah:

1. Kon Yeow pernah berkata, beliau memahami kerajaan pusat menarik balik peruntukan RM100 juta untuk projek membina sistem kereta kabel Bukit Bendera kerana kesempitan, lagi pun kerajaan pusat melihat projek tersebut tidak perlu disegerakan. Kenapa Guan Eng pula mengatakan ia sebagai balas dendam daripada kerajaan PN?

2. Akibat pandemik, industri penerbangan dijangka memerlukan 3 tahun untuk pulih. Tambahan pula, kerajaan melalui Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) sedang mengkaji pembangunan semua lapangan terbang dan dijangka siap pada 2023. Sebelum laporan dikeluarkan, semua rancangan pembesaran mahupun pembangunan lapangan terbang ditangguhkan, bukan setakat di Pulau Pinang sahaja. Ketika menjadi Ketua Menteri, Guan Eng begitu lantang membantah pembinaan lapangan terbang di Kulim, Kedah dengan alasan ia mengancam kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA). Ketika memegang portfolio Menteri Kewangan, beliau membuat pusingan U dengan menyokong pembinaan lapangan terbang Kulim. Kenapa sekarang tiba-tiba prihatin pula terhadap rancangan pembesaran PIA?

3. Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz mendedahkan, Guan Eng ketika menjadi Menteri Kewangan PH dahulu tidak pernah meminta Kabinet memberikan jaminan ke atas pinjaman untuk membiayai projek LRT Pulau Pinang, jadi bagaimana boleh timbul isu kerajaan PN menarik balik jaminan tersebut?

4. Feri yang menjadi ikonik Pulau Pinang tidak lenyap tetapi bakal diubah suai untuk tujuan selain daripada pengangkutan awam, termasuk sebagai restoran terapung dan feri persiaran kepada orang ramai serta pelancong. Menggantikan feri lama dengan bot laju jenis katamaran yang lebih selamat dan pantas, sambil mengekalkan feri lama untuk tujuan peranginan, memang perancangan di era PH!

Oleh itu, saya menasihatkan Guan Eng, kalau masih sayangkan Pulau Pinang, jangan cuba menangguk di air keruh dengan sandiwaranya pada waktu begini, hentikan tindakan memfitnah kerajaan PN. Niat sebenar anda bukan untuk kebaikan Pulau Pinang, tetapi menghasut rakyat Pulau Pinang supaya salah faham terhadap kerajaan PN, demi tujuan politik sempit!

Berita Berkatian

MoT tidak batalkan projek infrastruktur kerajaan Pulau Pinang

Apa jaminan KXP tidak akan menggantikan peranan LTAPP?

Kaji semula pembinaan KXP - Guan Eng sendiri pernah bantah atas alasan sama

Motif politik di sebalik perbezaan peruntukan untuk KXP dan LTAPP?