Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini menggesa Menteri Kewangan Lim Guan Eng membuat melapor kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada bukti parti itu menerima dana berkaitan 1MDB.

Wee merasakan Lim kurang tahu tentang prinsip undang-undang, mengatakan menteri kini perlu membuktikan tuduhan MCA menerima wang berkaitan 1MDB.

“Saya ingin ingatkan bahawa SPRM melancarkan siasatan terhadap 1MDB sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Wee juga menyarankan Lim untuk melapor kepada pihak berkuasa jika beliau mengesyaki MCA terlibat dalam rasuah yang tidak ditemui dalam siasatan 8 bulan oleh SPRM itu.

“Kami tahu Lim hanya mahu mengalih perhatian orang ramai daripada ‘sikap buli’ terhadap Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, kegagalan PH mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu dan ekonomi yang semakin lemah,” katanya.

Wee berjanji dia akan memastikan MCA memberi kerjasama penuh kepada siasatan 1MDB oleh pihak berkuasa walaupun pemindahan dana yang didakwa itu berlaku sebelum dia mengambil alih tampuk kepimpinan parti.

Terdahulu, Lim dilapor menggesa MCA memulangkan semula RM16.5 juta milik 1MDB yang didakwa diterima parti itu daripada kerajaan Barisan Nasional menjelang pilihan raya umum ke-13.

Lim merujuk kepada wawancara Wee oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang dipetik berkata tidak ada satu sen pun duit 1MDB diterima parti berkenaan sejak dia menjadi timbalan presiden pada 21 Disember 2014.

-Free Malaysia Today-