10 Julai 2019
Kenyataan Media Setiausaha Agung Pemuda MCA Daniel Wa Wai How
Menjelang setahun, namun menteri-menteri PH masih gagal dalam pembuatan dasar
Ketidakcekapan menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) dari segi pengendalian krisis ataupun penggubalan dasar semakin jelas, terutamanya dalam tempoh dua hingga tiga bulan lalu.
Akhirnya, rakyat yang menjadi mangsa akibat ketidakcekapan kerajaan dan menteri-menteri ini. Apabila kepimpinan negara tidak cekap, kepentingan rakyat terjejas dan masa hadapan semakin diriwayatkan untuk kegagalan.
Pencemaran di Pasir Gudang
Ia amat mengecewakan apabila menteri-menteri PH gagal menangani dua gelombang pencemaran yang melanda Pasir Gudang, Johor dalam tempoh tiga bulan ini. Pengendalian krisis tersebut sangat tidak cekap, dan dibelenggu masa tindakan yang lambat, dan sikap acuh tidak acuh yang dipamerkan menteri-menteri berkenaan. Faktor ini secara langsung menyebabkan ramai pelajar dan penduduk jatuh sakit.
Kementerian Kesihatan, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim, Kementerian Pendidikan, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, serta kerajaan negeri Johor telah dikritik kerana lambat tangani masalah-masalah utama yang dihadapi para penduduk.
Menteri-menteri berkenaan mula memandang serius kejadian ini hanya selepas ditegur Perdana Menteri dan Sultan Johor. Jika kedua-dua Perdana Menteri dan Sultan Johor tidak membangkitkan isu ini, adakah menteri-menteri berkenaan akan sedar betapa teruknya situasi di kawasan Pasir Gudang?
“Penyakit misteri” di Kuala Koh
Tambahan pula, kes kematian beberapa ahli masyarakat Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, Kelantan semakin menyerlahkan ketidakcekapan pemimpin PH. Walaupun sudah beberapa bulan telah lalu, namun punca penyakit misteri masih belum dikenalpasti. Ini menyebabkan masyarakat Bateq terus mengalami kerisauan.
Lebih mengecewakan, kejadian ini hanya disedari kerajaan selepas kematian 10 orang Asli. Mengapa menteri-menteri berkenaan tidak sedar akan tragedi ini sehingga jumlah kematian mencecah jumlah yang tinggi?
Had usia belia
Pada awal bulan ini, Kementerian Belia dan Sukan telah membentangkan RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 di Parlimen untuk menurunkan had usia belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun. Ini telah menerima bantahan dan kritikan dari pelbagai pihak, malah kerajaan Johor yang ditadbir Pakatan Harapan turut menolak pindaan tersebut. Ini menyerlahkan lagi kekurangan pengalaman dan kelayakan menterinya, Syed Saddiq.
Sebelum membentangkan RUU tersebut, Syed Saddiq sepatutnya berunding dengan pihak yang berkepentingan untuk memberi penjelasan dan mendengar pandangan mereka terlebih dahulu demi mengelak membazirkan masa semua orang.
Pendidikan
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pula sering memperkenalkan dasar-dasar yang susah diterima pihak ibu bapa.
PH sepatutnya ambil perhatian akan masalah-masalah yang bangkit apabila menterinya semakin menyimpang dari kehendak rakyat. Mereka tidak patut melupakan pengundi-pengundi yang memberi mereka mandat untuk menjadi kerajaan baharu. Apabila PH tidak lagi mengutamakan sentimen dan inspirasi rakyat, mahupun mendengar keluhan mereka, ia dicerminkan dalam dasar-dasar yang diperkenalkan, dan ini tentunya menerima pelbagai bantahan dan kritikan.
-MCA online-