Presiden MCA, Wee Ka Siong membidas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang disifatkannya tidak memahami kenyataan beliau sebelum ini berhubung ‘kempen boikot’ barangan keluaran orang bukan Islam dan Bumiputera.
Beliau berkata Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi telah menjelaskan kepadanya bahawa Umno dan PAS tidak terlibat dalam kempen itu.
“Pada 2 September lalu saya dah buat kenyataan begitu jelas sekali, tak faham ke atau tak baca?
“Kalau kamu tak baca, bukan salah saya. Tolong baca jangan malas. Saya tanya sendiri dengan Datuk Seri Zahid, dia kata mana ada Umno buat,” katanya dalam satu klip video di Facebook hari ini.
Sebelum itu, Lim menyelar MCA dan MIC yang disifatkannya tidak membantah secara terbuka sokongan yang diberikan oleh PAS dan Umno terhadap kempen yang mendorong orang ramai mengutamakan produk keluaran orang Islam.
Pada 3 Sept, Wee berkata, kempen mengutamakan produk keluaran orang Islam yang disebarkan melalui media sosial dilihat bercanggah dengan semangat kenegaraan dan merupakan langkah yang tidak menguntungkan ekonomi.
Wee berkata, perkara lebih penting sepatutnya adalah menyokong produk ‘Buatan Malaysia’ dan semua barangan tempatan kerana kebanyakan syarikat mempunyai pekerja yang terdiri daripada pelbagai kaum serta agama.
Dalam pada itu, Wee berkata Lim sepatutnya mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat kempen itu jika mereka menyalahi undang-undang.
“Kamu sekarang ini kerajaan dan ada kuasa ambil tindakan jika kempen itu sabotaj ekonomi.
“Jangan buat cerita semberono. Jangan reka-reka cerita, tolong. Sekarang nak laga-laga kita kenapa. Kamu tak senang ke hidup secara harmoni?” soalnya.
Dalam pada itu Wee berkata, orang Islam berhak memilih untuk membeli produk keluaran orang Islam sendiri sekiranya mereka berasa was-was berkenaan status halal sesuatu barangan.
Kempen mengutamakan produk keluaran orang Islam bermula sebagai inisiatif di laman sosial bulan lepas oleh beberapa individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
PAS dan Umno menafikan mendalangi kempen tersebut, walaupun menyokongnya sebagai satu inisiatif untuk memperkukuh ekonomi orang Islam.
-Free Malaysia Today-