Lim Guan Eng yang pencilkan Pulau Pinang, hentikan sandiwara
MoT benar guna kenderaan sendiri hantar barangan, makanan  

MoT tidak batalkan projek infrastruktur kerajaan Pulau Pinang

Pada Isnin    11-01-2021 11:45:00

Kementerian Pengangkutan (MoT) tidak membatalkan tiga projek prasarana yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan Pulau Pinang seperti yang didakwa oleh pemimpin politik negeri itu.

Kementerian itu berkata Feri Rapid Pulau Pinang, sebelum ini dikenali sebagai Perkhidmatan Feri Pulau Pinang, tidak dibatalkan.
"Perkhidmatan feri itu sebaliknya ditambah baik mengikut arus pemodenan bagi memberikan lebih keselesaan, mempercepatkan perjalanan, mengutamakan aspek keselamatan penumpang, keupayaan dalam penyelenggaraan agar lebih berdaya maju untuk jangka masa panjang," kata kementerian itu menerusi kenyataan pada Jumaat.
"Ini juga bagi menambah baik kelemahan feri lama yang sering rosak dengan purata sebulan sekali. Oleh kerana RM30 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membeli bas air yang baharu dan pengangkut kenderaan untuk perkhidmatan tersebut," katanya.
Prasarana Malaysia Bhd telah menyewa dua buah feri laju untuk digunakan sementara waktu sehingga feri baharu mula beroperasi dalam tempoh jangka masa 18 bulan.
"Fasa pemodenan bermula dengan tiga buah bas air (khusus membawa penumpang) mulai 1 Jan 2021, manakala dua kenderaan pengangkut yang membawa kenderaan dua roda seperti motosikal dan basikal pula akan beroperasi pada tahun 2022.
"Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan mempercepatkan proses mendapatkan bas air yang baharu ini daripada pembekal sebelum ia dapat memulakan operasi sepenuhnya," menurut kenyataan itu.
Menurut kementerian itu, bagi memelihara warisan dan budaya Pulau Pinang yang ikonik tersebut, cadangan pelbagai pihak termasuk daripada Setiausaha DAP Pulau Pinang Senator Lim Hui Ying pada 17 Dis lalu akan dipertimbangkan antaranya menjadikan feri lama sebagai restoran terapung, muzium ataupun dijadikan sebagai pelayaran pelancongan.
Pada Khamis, Hui Ying , Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membuat satu kenyataan media dan dilapor berkata Pulau Pinang akan meneruskan empat projek yang dibatalkan oleh kerajaan persekutuan sebelum ini, demi kepentingan dan manfaat 1.6 juta rakyat negeri itu biarpun ia mempunyai sumber yang amat terhad.
Menyentuh isu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), kementerian itu berkata cadangan projek pembesaran LTAPP belum dibatalkan seperti dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Parlimen pada 12 Nov lalu.
"Walau bagaimanapun, ia akan diteliti semula secara menyeluruh dengan mengambil kira permintaan penumpang serta keadaan ekonomi akibat pandemik COVID-19 yang memberi kesan besar kepada industri penerbangan awam," katanya.
Memandangkan kurang permintaan penumpang, maka kerajaan Pulau Pinang disarankan supaya menumpukan kepada beberapa perkara utama terlebih dahulu seperti melakukan proses pengambilalihan tanah bagi projek pembesaran lapangan itu, katanya.
Kementerian itu berkata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) telah melaporkan bahawa jumlah permintaan penumpang penerbangan peringkat global telah menurun secara mendadak sehingga 55 peratus pada tahun 2020 berbanding tahun 2019.
Menurut kenyataan itu penurunan jumlah penumpang untuk LTAPP juga adalah lebih teruk iaitu sehingga 78 peratus daripada 8.256 juta pada tahun 2019 kepada 1.816 juta pada tahun 2020.
Berkenaan projek Transit Aliran Ringan dari Bayan Lepas ke Komtar (BLLRT), kementerian itu berkata ia tidak dibatalkan seperti yang didakwa sebaliknya kerajaan Pulau Pinang masih belum menyerahkan kelulusan akhir Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) dari Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLAN Malaysia).
Justeru kementerian berharap pemimpin politik dapat menahan diri daripada menyebarkan cerita fiksyen hanya demi kepentingan politik mereka serta perlu sentiasa memberikan fakta sebenar kepada rakyat.
"Kementerian akan terus menerima baik segala pendapat dan saranan daripada semua kerajaan negeri berhubung pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur pengangkutan awam demi kesinambungan, keselesaan serta keselamatan semua penumpang," jelas kenyataan itu.
-- BERNAMA

Berita Berkatian

Lim Guan Eng yang pencilkan Pulau Pinang, hentikan sandiwara

Politik sempit Lim Guan Eng, bagaikan bertempur dengan bayang-bayang sendiri

Langkah ganti perkhidmatan feri PP dipersetujui adik Guan Eng di Dewan Negara, kata Wee

Guan Eng masih anggap dia ketua menteri P Pinang, kata Wee

Kerajaan pertimbang jadikan feri PP restoran terapung, muzium