Kenyataan Media Setiausaha Organisasi MCA merangkap Ketua Pemuda MCA Johor Ling Tian Soon
'Isu Tabung Penyelenggaraan Sekolah Kerajaan dan Institusi Pendidikan Tinggi Awam'
MCA tidak bersetuju dengan pelancaran tabung penyelenggaraan sekolah kerajaan dan IPTA yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Maszlee Malik , sebaliknya menggesa pihak kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pendidikan nasional.
Kenyataan Maszlee bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperuntukkan RM60 juta bagi memajukan industri pendidikan, di mana 90% daripadanya untuk kos operasi dan selebihnya adalah untuk tujuan pembangunan, adalah tidak rasional. Menurut Bajet 2019, daripada RM60.2 bilion yang diperuntukkan, kebanyakannya digunakan untuk membayar gaji tenaga pengajar serta kos operasi, jadi kenapakah 90% daripada RM60 juta tadi masih perlu disalurkan kepada kos operasi ?
Membayar cukai pendapatan adalah tanggungjawab rakyat, manakala penggunaan dan pengagihan peruntukan secara bijaksana merupakan tanggungjawab kerajaan. Jika kerajaan benar-benar kekurangan dana, mengapa masih memaksa orang ramai menderma kepada kerajaan untuk menjalankan tugas mereka, seperti Tabung Harapan yang ditubuhkan pada tahun 2018. Apabila rakyat menyahut seruan kerajaan untuk menderma, tetapi hutang negara bukan sahaja tidak berkurangan, sebaliknya meningkat secara mendadak. Cara penggunaan dermaan tersebut juga tidak dijelaskan kepada umum.
Walaupun KPM memperolehi 19.1% daripada seluruh peruntukan, pihak KPM tetap mengurangkan banyak skim kebajikan yang membabitkan pelajar serta tenaga pengajar, malah menghapuskan peruntukan khas dalam aktiviti kokurikulum sebanyak RM24.5 seorang. Tindakan ini menyebabkan sekolah-sekolah seluruh negara mengalami kesempitan wang untuk menganjurkan pelbagai aktiviti di luar bilik darjah, termasuk Hari Sukan, dan terpaksa meminta derma daripada masyarakat umum. Sementara itu, KPM juga mengurangkan peruntukan pembersihan serta kos sekuriti, menimbulkan huru-hara dan kebimbangan di peringkat sekolah-sekolah.
Pendidikan merupakan tanggungjawab kerajaan serta dasar strategik negara. Seandainya KPM bawah pimpinan PH kini terpaksa meminta derma untuk tabung penyelenggaraan sekolah kerajaan dan IPTA, adakah ini bermakna KPM telah gagal dalam pengurusan sumbernya? Atau pun KPM bawah pucuk kepimpinan baharu ini telah membazirkan banyak sumber untuk tujuan lain yang tidak diketahui rakyat? Jelaslah bahawa KPM perlu memperincikan bagaimana ia bakal menggunakan dana RM60.2 bilion tersebut untuk memulihkan kembali keyakinan rakyat.
-MCA online-