
Kenyataan Media Biro Politik MCA
11 Oktober 2020
1. Biro Politik yang dipengerusikan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong telah membuat satu ketetapan bahawa MCA TIDAK akan menyokong atau menyertai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya ingin menubuhkan kerajaan baharu. Ini susulan kenyataan Datuk Seri Anwar bertarikh 8 Oktober 2020 yang mengatakan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk beliau mengadap pada 13 Oktober 2020 seterusnya sembah maklum sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat bagi membolehkannya menjadi Perdana Menteri Malaysia.
2. Biro Politik MCA menegaskan bahawa Presiden MCA telah mengadakan perbincangan bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN) serta semua Presiden parti komponen BN dan kesepakatan yang dipersetujui ialah, “BN TIDAK AKAN MENYERTAI DATUK SERI ANWAR IBRAHIM DALAM PEMBENTUKAN KERAJAAN BAHARU”.
3. MCA juga mengulangi pendirian parti iaitu memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui kepimpinan negara khususnya dalam keadaan dunia berdepan dengan penularan pandemik COVID-19 yang menyebabkan semua sektor ekonomi terkesan.
4. Kestabilan politik adalah pra-syarat untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia. Adalah wajar bagi semua parti politik menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi dan menghentikan segala percaturan politik yang akhirnya merugikan rakyat.
5.Pemimpin dan parti politik juga seharusnya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong pada bulan Mei 2020 lalu yang menitahkan ahli politik supaya tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu.
Datuk Chong Sin Woon
Setiausaha Agung MCA