12 April 2017

Kenyataan Media Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Pulau Pinang Dr Tan Chuan Hong

Guan Eng patut mempelajari daripada Dato’ Teng Chang Kim yang sedia mengakui kesilapannya

Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng disaran mempelajari daripada tindakan Exco negeri Selangor Dato’ Teng Chang Kim yang sedia meletak jawatan, dan bukannya bersikap penakut dan mengelak tanggungjawab.

Sejak pendedahan pihak media bahawa edisi ketiga Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor mendiskriminasi tempat-tempat ibadat bukan Islam, Dato’ Teng telah memohon maaf secara umum. Malah, beliau juga sedia meletak jawatannya walaupun keputusan memasukkan klausa kontroversi tersebut telah dibuat oleh semua ahli Exco Islam dan bukan Islam. 

Sebaliknya, apabila Guan Eng disiasat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kerana membeli rumah banglo di bawah harga pasaran dan didakwa, dia masih enggan meletak jawatan atau bercuti, malah sanggup memutar belit isu tersebut dengan menuduh kerajaan menjalankan pendakwaan politik. Dia juga sanggup memujuk rakan-rakan sekutunya untuk bersetuju mengadakan pilihan raya negeri mengejut demi menyelesaikan masalah rasuah peribadinya. Kelakuan ini amat memalukan.

Wakil rakyat DAP Tanjung Bungah, Teh Chee Yeu juga berulang kali telah meminta Guan Eng mengambil cuti dari jawatannya. Akan tetapi, desakannya tidak diendahkan Guan Eng. Ketua pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid juga telah membentangkan satu usul di Dewan Undangan Negeri untuk mendesak Guan Eng meletak jawatan. Sebaliknya, Guan Eng memberi alasan bahawa statusnya akan ditentukan oleh Speaker DUN. Kelakuannya jauh lebih teruk berbanding Dato’ Teng Chang Kim yang rela mengakui kesilapannya dan menerima hukuman yang berpatutan.

Oleh itu, saya menggesa Speaker DUN Pulau Pinang Law Choo Kiang untuk membenarkan usul Datuk Jahara Hamid dibentangkan dan bukannya menolak usul tersebut atas alasan “ kesilapan teknikal”.

Dr Tan Chuan Hong
Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Pualu Pinang

-MCA online-