13 Februari 2020

Kenyataan Media Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng 

Menaik taraf pengangkutan rel lebih memanfaatkan berbanding projek KXP

MCA kecewa dengan keputusan kerajaan negeri Kedah untuk meneruskan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang penuh dengan kontroversi dan telah dibantah pelbagai pihak, dan menggesa kerajaan pusat dan negeri supaya menumpukan usaha untuk menaik taraf fasiliti pengangkutan rel antara negeri.

MCA juga kecewa bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang sebelum ini lantang membantah pembinaan lapangan terbang KXP tersebut telah menukarkan pendirian beliau dan sekarang menyokong projek tersebut.

Kerajaan negeri Kedah telah menekankan bahawa KXP akan berfungsi sebagai sebuah hab kargo kargo sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kekal sebagai hab penumpang. Namun, ini tidak masuk akal kerana sudah terdapat sebuah pelabuhan yang besar di Pulau Pinang untuk mengendalikan kargo antarabangsa.

Selain itu, Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhkriz Mahathir juga mengakui bahawa kebanyakan industri di wilayah utara masih mengangkut kargo ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui pengangkutan jalan. Oleh itu, pembinaan sebuah lapangan terbang hanya untuk penerbangan tempatan jarak pendek akan meninggalkan kesan yang teruk terhadap alam sekitar, di samping memakan kos yang besar.

Sebaliknya, kerajaan PH digesa menaik taraf fasiliti pengangkutan rel di antara wilayah utara dengan Kuala Lumpur. Tambahan pula, penggunaan tren kargo adalah jauh lebih murah dan efektif kerana dapat mengangkut lebih banyak kargo, dan meninggalkan kesan karbon yang lebih rendah berbanding pengangkutan udara.

-MCA online-