Ahli Parlimen Kluang harus minta maaf dalam isu buku lucah dan Jawi
Menteri tak tahu mengenai projek bernilai RM450 juta?  

Pertahan pendidikan pelbagai aliran bukan rasis, kata MCA

Pada Selasa    13-08-2019 09:15:00

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata bantahan terhadap pengenalan tulisan Jawi untuk murid sekolah rendah, termasuk di sekolah vernakular, bukanlah tentang perkauman tetapi berkenaan hala tuju pendidikan pelbagai aliran di Malaysia.

"Kita bukan rasis, ramai orang membantah dasar ini bukan kerana kita benci tulisan Jawi tetapi kita menghormati nilai budaya dan kesenian, serta menghormati khat Jawi (tetapi ia sebaiknya) diterapkan dalam pendidikan seni atau secara elektif. Ia tak perlu dipaksa masuk ke dalam sukatan pelajaran.

"Ini bukan persoalan perkauman, ini adalah masalah hala tuju pendidikan pelbagai aliran," katanya dalam hantaran dalam bahasa Mandarin di Facebook hari ini, yang turut disertakan dengan tanda pagar "MCA jadi tulang belakang pendidikan Cina".

"Jika mempertahankan pendidikan pelbagai aliran dikatakan rasis, bagaimana dengan kenyataan 'Cina kaya' dan mempertahankan sistem kuota di matrikulasi?" soalnya lagi.

Walau tidak merujuk secara khusus, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada Mei lalu pernah berkata kuota matrikulasi, dengan 90 peratus untuk golongan bumiputera, adalah kerana mereka lebih memerlukan berbanding masyarakat Cina yang secara umumnya lebih senang.

Maszlee kemudan menjelaskan beliau tidak bermaksud untuk memukul rata masyarakat itu dan menafikan ada di kalangan mereka dalam golongan B40.

Hantaran Wee itu beberapa jam selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melabelkan Dong Zong sebagai “rasis” selepas pertubuhan pendidikan Cina itu mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah sebagai satu bentuk "Islamisasi".

Ia di sebalik kompromi oleh Kementerian Pendidikan yang antaranya menjadikannya sebagai pilihan dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran, serta pengurangan halaman daripada enam kepada tiga muka surat.

Wee berkata bukan Dong Zong sahaja yang membantah perkara itu, tetapi juga masyarakat India, pertubuhan agama dan sejumlah tokoh dan ahli akademik Melayu.

Beliau juga membangkitkan peristiwa Ops Lalang pada 1987 apabila Mahathir - ketika itu pertama kali sebagai perdana menteri - yang antara lain mengambil tindakan terhadap aktivis pendidikan Cina di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Jangan semarakkan sentimen perkauman dengan menggunakan pendidikan Cina sebagai alat politik untuk memecahkan rakyat Malaysia untuk matlamat politik," katanya yang merupakan anggota parlimen Ayer Hitam.

'Rumitkan usaha cari penyelesaian'

Sementara itu, Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata kritikan Mahathir terhadap Dong Zong itu hanya akan merumitkan usaha untuk mencapai penyelesaian dalam isu tersebut.

"Berbanding daripada mengurangkan kebimbangan Dong Zong dalam itu itu, gelaran rasis hanya menjauhkan mereka daripada sebarang rundingan dan kompromi

"Jika ada asas untuk tidak bersetuju dengan Dong Zong ia patut dibuat dengan hujah rasional dan kebimbangan mereka tidak boleh ditolak sebagai perkauman," katanya.

Beliau juga menyokong hasrat Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk membangkitkan isu itu di kabinet sekali lagi dan berharap penyelesaian yang baik dapat dicapai secepat mungkin melalui dialog dan rundingan.

-Malaysiakini-

Berita Berkatian

Khat: MCA Sabah persoal kenyataan bercanggah pemimpin negeri

Pemimpin politik perlu bersikap sederhana, rasional, bertoleransi

'Seikat bagai sirih, serumpun bagai serai'

Ahli Parlimen Kluang harus minta maaf dalam isu buku lucah dan Jawi

Presiden MCA pamer bakat tulis Jawi