Pelanjutan lesen Lynas satu pengkhianatan kepada rakyat
Ekonomi negara kukuh? Mengapa pula KWSP umum dividen yang terendah dalam 11 tahun?  

Buatlah dengan betul dan ikhlas, MCA ulas skim mySalam untuk M40

Pada Jumaat    14-02-2020 12:35:00

MCA hari mempersoalkan bagaimana kerajaan boleh memperluaskan skim perlindungan kesihatan mySalam kepada golongan M40 tanpa sebarang peruntukan tambahan.

Presidennya, Wee Ka Siong bertanya adakah masuk akal apabila jumlah rakyat yang akan mendapat perlindungan insurans itu meningkat dari 40% kepada 80% tanpa sebarang peruntukan tambahan.

“Saya amat mengalu-alukan apa saja keputusan untuk membantu mana-mana kategori rakyat, tetapi buatlah dengan betul dan ikhlas.

“Pengumuman Lim Guan Eng menggambarkan kegagalan skim mySalam untuk memberi perlindungan insurans yang mencukupi kepada golongan B40,” katanya.

Selasa lalu, kerajaan mengumumkan perluasan skim perlindungan kesihatan mySalam kepada golongan M40 iaitu individu yang mempunyai pendapatan kasar tidak melebihi RM100,000 setahun.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata perluasan skim ini dijangka akan membawa manfaat kepada 8 juta individu bagi tahun 2020.

Jelasnya, golongan itu boleh melengkapkan proses pendaftaran bermula hari ini (11 Feb) hingga 31 Mac dan membuat tuntutan mulai Mei akan datang.

Mengulas lanjut, Wee berkata jika golongan berpendapatan rendah (B40) tak dapat dijaga dengan baik, tiada guna mySalam diperluaskan kepada M40.

“Purata pendapatan bagi mereka dalam kategori M40 ialah sekitar RM6,275 manakala skim mySalam memberikan perlindungan ‘critical illness’ yang bermakna sebanyak RM4,000 (kurang daripada pendapatan sebulan).

“Bagaimanakah ini perlindungan yang bermakna? Perlindungan yang bermakna sepatutnya sekitar 3 kali pendapatan setahun,” katanya.

Wee berkata mySalam dilihat menjurus kepada “skim amal” yang tidak bersasar, bukannya perlindungan insurans sepertimana yang sepatutnya.

Katanya, lebih baik kerajaan memperbaiki prosedur permohonan, tambahan pula ketika ini orang ramai masih sukar membuat tuntutan berikutan karenah birokasi.

“Begitu juga dengan caj bayaran bagi mendapatkan laporan perubatan untuk membuat tuntutan mySalam. Kerajaan PH kata ia dikecualikan, tapi sebaliknya berlaku.

“Bila saya tunjukkan bukti, terus PH diam sampai sekarang. Sampaikan pihak Lembaga Pemegang Amanah mySalam dan Pejabat Belanjawan Negara tergamam tak boleh jawab apa-apa. Ini membuktikan bahawa PH memperdaya orang ramai,” katanya.

Wee berkata sepatutnya kerajaan melipatgandakan usaha untuk memahami dan menangani permasalahan sebenar yang dihadapi golongan B40.

Beliau mempersoalkan adakah Kementerian Kewangan mendapat keputusan penilaian bebas dan apakah cadangan yang dibentangkan.

“Apakah terma dan syarat yang dikenakan untuk pengeluaran daripada “participating funds”?

“Sedangkan pada 19 Nov 2019 di Parlimen, Kementerian Kewangan kata ia akan dimuktamadkan sebelum akhir 2019,” katanya.

Wee berkata kerajaan sepatutnya serius dalam perkara ini, jangan hanya bermain wayang semata-mata.

Beliau berkata selesaikan dahulu permasalahan yang sedang dihadapi golongan B40 seperti kesukaran membuat atau mendapatkan tuntutan, urusan yang merumitkan keadaan seperti terpaksa mengisi borang serta menyediakan dokumen dan sebagainya.

“Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan seharusnya menjalin kerjasama berhubung perkara ini.

“Setiap maklumat pesakit yang layak mendapat perlindungan skim mySalam teruslah dimasukkan dalam sistem sama secara automatik, apa yang susahnya,” katanya.

Skim mySalam yang dilancarkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 24 Jan tahun lalu merupakan perlindungan takaful yang disediakan kepada golongan B40 melalui kerjasama awam swasta antara kerajaan persekutuan dan Great Eastern Takaful Bhd.

Perlindungan takaful itu disediakan dengan memberi bayaran bantuan tunai sekali gus sebanyak RM8,000 bagi mereka yang disahkan menghidap salah 1 daripada 36 penyakit kritikal termasuk penyakit kanser, serangan jantung dan alzheimer serta elaun hospital harian sebanyak RM50 sehari atau maksimum RM700 setahun.

-Free Malaysia Today-

Berita Berkatian

Kata mySalam bantu B40 tapi sebelah kaki patah tak boleh tuntut insurans

Skim MySalam menjaga kepentingan golongan B40 atau syarikat insurans?

Skim mySalam penuh kekangan, tidak memanfaatkan rakyat