14 Ogos 2019

Kenyataan Media Timbalan Ketua Pemuda MCA, Tan Chee Hiong

Kereta nasional ketiga - Guan Eng dan Leiking sengaja tipu rakyat?

Rakyat jelas ditipu sekali lagi oleh kerajaan Pakatan Harapan apabila Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa projek kereta nasional ketiga membabitkan sebuah agensi kerajaan sebagai syarikat utama.

Sejak projek ini diumumkan, ia menerima bantahan daripada rakyat dan barisan pembangkang sehingga kerajaan memberi jaminan bahawa ia akan diterajui sektor swasta dan tidak melibatkan penggunaan dana awam. Malangnya, kesemua ini satu penipuan besar kerana pemegang saham terbesar DreamEDGE adalah Venture Tech Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat milik penuh MIGHT (agensi kerajaan) di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Perdagangan Antarabanga dan Industri Darell Leiking telah menegaskan bahawa projek ini dibiayai sektor swasta dan tidak akan menggunakan dana awam. Namun, pengakuan Tun Dr Mahathir telah mendedahkan penipuan mereka berdua.

Kenyataan “saya tidak meluluskan, tetapi ia telah dilakukan” oleh Perdana Menteri juga membangkitkan persoalan siapakah yang menggalakkan sebuah agensi kerajaan untuk mengambil bahagian dalam projek ini, dan mengapa kedua-dua Menteri Kewangan dan Menteri MITI telah bercakap bohong? Tindakan harus diambil ke atas mereka berdua kerana telah sengaja menipu rakyat demi menjayakan impian peribadi Perdana Menteri untuk sebuah kereta nasional ketiga. 

-MCA online-