15 Mei 2019

Kenyataan Media Jurucakap MCA Mike Chong Yew Chuan

Apakah terjadi kepada nasib pekerja di bawah Pakatan?

Sejak Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara setahun lalu, rakyat semakin kecewa dengan prestasi kerajaan baharu yang sering memungkiri janji, membuat pusingan U atau membuat kenyataan bercanggah yang mewujudkan kekeliruan.

Antara janji-janji yang gagal dilaksanakan, yang paling mengecewakan adalah kegagalan PH melaksanakan gaji minima sebanyak RM1,500 dan mewujudkan 1 juta pekerjaan yang pernah dijanjikan sebelum PRU14 kerana kedua-dua isu ini memberi impak secara terus kepada rakyat.

Sebelum ini, MCA dan BN pernah menangkis manifesto Pakatan Harapan sebagai tidak logik dan sukar dilaksanakan, dan juga mendesak Pakatan menjelaskan bagaimana mereka berharap untuk menunaikan kesemua janji-janji mereka. Namun, persoalan kami tidak diendahkan, dan sekarang rakyatlah yang menderita.

Lebih mengecewakan lagi, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup menyeru rakyat supaya tidak terlalu berpilih, sambil mengatakan “gaji rendah lebih baik daripada menganggur”. Malah, beliau juga sanggup menyalahkan kos sara hidup tinggi atas kenaikan gaji. Menteri Sumber Manusia Kulasegaran pula juga sanggup mencadangkan pelaksanaan gaji minima berbeza mengikut sektor.

Sekarang, ia dilaporkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan bercadang menghantar pekerja-pekerja kolar biru Malaysia untuk bekerja di luar negara. Bukankah lebih baik jika mereka diberi kerja di dalam negara, dengan gaji yang setimpal? Sebaliknya, Pakatan yang gagal melaksanakan janji gaji minima dan mewujudkan pekerjaan telah mengambil keputusan untuk menghantar bakat-bakat kita ke negara lain, sekali gus meningkatkan kebergantungan negara ke atas buruh asing dan juga menyumbang kepada fenomena “brain drain”.

Dengan ini, Pakatan Harapan digesa menepati janji-janji mereka. Janganlah kita kehilangan rakyat kita kepada negara lain. Pelaksanaan gaji minima sudah pasti akan menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk membuat kerja-kerja 3D yang kini dipegang pekerja asing. 

Kerajaan baharu juga disaran mengambil langkah memperkukuhkan ekonomi negara dengan meningkatkan keyakinan pelabur asing melalui dasar-dasar ekonomi mampan. Ini secara langsung akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan meningkatkan gaji pekerja, di samping memulihkan keadaan ekonomi negara dan prestasi ringgit yang semakin merudum sejak pertukaran kerajaan. 

-MCA online-