Bagi mengukuhkan hubungan dengan syarikat bersaiz pertengahan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengadakan program turun padang di syarikat Mega Fotris (M) Sdn Bhd dan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, di sini, semalam.

Timbalan Menterinya Datuk Chua Tee Yong berkata, kerjasama melalui Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP) itu merancakkan lagi aktiviti eksport syarikat berskala pertengahan berkenaan.

“Kementerian menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mendapati ada syarikat pertengahan yang tumbuh di Malaysia ketika ini mempunyai potensi industri berasaskan eksport.

“Berikutan itu, mereka dipilih bagi meningkatkan industri eksport,” katanya pada sidang media selepas program itu di Les’ Copaque, Seksyen 13, di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Sharimahton Mat Salleh dan Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi.

Katanya, MTCDP adalah program anjuran Matrade bagi meningkatkan keupayaan dan pendapatan eksport, malah berperanan menjadikan syarikat peringkat pertengahan sebagai peneraju serantau atau global.

“Kita membantu dan membimbing mereka mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.

Katanya, industri multimedia seumpama itu perlu dilihat dengan konteks lebih luas berbanding industri pengeluaran atau perkilangan.

“Industri multimedia seperti Upin dan Ipin mendapat tempat di Indonesia dan beberapa negara lain. Selain itu, ia boleh berkembang kepada jualan makanan dan minuman, cenderamata, rangkaian restoran dan permainan,” katanya.

-Harian Metro-