Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan peningkatan nilai eksport antara 10 hingga 30 peratus menerusi Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP), menjelang akhir tahun ini. 

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong, berkata setakat ini, sejumlah 152 syarikat peringkat pertengahan (MTC) tempatan daripada pelbagai sektor sudah menyertai program berkenaan. 

"Pada tahun lalu, keseluruhan nilai eksport yang disumbangkan menerusi 152 syarikat itu adalah sebanyak RM6.82 bilion, berbanding RM6.18 bilion yang direkodkan pada 2015. 

"Peningkatan nilai eksport itu memperlihatkan MTC menerusi MTCDP, antara penyumbang besar kepada eksport dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara," katanya selepas mengadakan program 'Turun Padang' ke salah sebuah syarikat MTC, Les' Copaque, di sini, hari ini. 

Beliau berkata, menerusi inisiatif yang disediakan kerajaan diharap dapat mempelbagaikan eksport di kalangan syarikat utama atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

"Malah pada tahun ini, sebanyak 21 syarikat dalam pelbagai sektor yang dilantik untuk menyertai program berkenaan sebagai membantu meningkatkan eksport mereka. 

"Berdasarkan prestasi eksport yang ditunjukkan, ia jelas menunjukkan syarikat yang terpilih adalah berpotensi tinggi untuk mengembangkan perniagaan mereka walaupun berdepan keadaan ekonomi serba mencabar," katanya. 

Selain itu katanya, kebanyakan syarikat yang terbabit dalam MTCDP juga kini masih dalam proses untuk membuat pelaburan besar untuk mengembangkan perniagaan mereka. 

"Usaha berkenaan dilihat bukan saja dapat membantu meningkatkan pertumbuhan eksport negara, tetapi pada masa mengukuhkan mata wang kita," katanya. 

MTCDP diadakan bagi membantu MTC meningkatkan pendapatan eksport dalam pasaran sasarannya dan menjadi lebih berdaya tahan serta berdaya saing pada peringkat serantau hingga antarabangsa. 

Selain MTCDP, kerajaan turut memperkenalkan program 'Ramp-Up' MTC bagi melonjakkan momentum eksport ke pasaran sedia ada atau pasaran eksport baharu.

INFO

  • MTCDP diluluskan Kabinet pada 16 Januari 2013 dan akan berlangsung dari 2014 hingga 2021.
  • Program yang diadakan dalam tempoh sembilan bulan itu membabitkan lapan gelombang dengan disertai antara 50 hingga 70 MTC bagi setiap gelombang.

-Berita Harian-