Kerajaan akan terus komited untuk menstabilkan harga getah dan meningkatkan nilai tambah getah disebabkan penularan pandemik COVID-19 sejak awal tahun ini yang memberikan kesan kepada pasaran permintaan antarabangsa terutama China.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata kerajaan telah bekerjasama dengan negara-negara pengeluar utama getah dunia iaitu Thailand dan Indonesia di bawah kerangka Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) untuk memperkukuh dan menstabilkan harga pasaran getah antarabangsa.

“Di bawah kerjasama ini, syer pengeluaran ketiga-tiga negara adalah 63.3 peratus daripada pengeluaran getah asli dunia,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Siti Fatimah Yahaya yang ingin tahu mengenai langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk menstabilkan harga getah dan perancangan kerajaan bagi meningkatkan nilai tambah komoditi tersebut.

Katanya, kerajaan bercadang meningkatkan penggunaan getah dalam negara bagi mengukuhkan harga getah bagi jangka sederhana dan panjang, termasuk penggunaan getah dalam pembinaan jalan raya dan penghasilan produk-produk baru dan bernilai tambah berasaskan getah  antaranya sarung tangan getah.

Turut diperkenalkan adalah konsep Ladang Komuniti Getah untuk meningkatkan bekalan bahan mentah di samping menjana pendapatan tambahan pekebun kecil menerusi tanaman kontan serta ternakan haiwan.

Di samping itu, beliau berkata, kerajaan merancang pelaksanaan Koridor Lateks Wilayah Timur untuk mendapatkan hasil lateks tempatan bagi menyokong perkembangan industri pembuatan barangan getah lateks di samping meningkatkan pendapatan pengusaha getah dan meningkatkan penggunaan getah asli negara dengan memperkasa industri tayar di Malaysia.

“Ini akan membuka peluang pelaburan baharu dalam negara supaya industri pembuatan barangan getah dapat diperluaskan.

“Industri tayar sangat berdaya saing dengan nilai pasaran dunia hampir RM300 bilion dan pemerkasaan industri ini yang berasaskan getah kering juga dapat mengimbangi industri pembuatan barangan getah di Malaysia yang kini didominasi oleh industri berasaskan lateks untuk meningkatkan sumbangan eksport dan pasaran industri getah dunia,” katanya.

-- BERNAMA