16 Mei 2019

Kenyataan Media Ketua Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting

Laksanakan akta kawal selia dana politik

Langkah menjadikan pengisytiharan aset sebahagian KPI menteri adalah satu langkah ke arah yang betul. Namun, Pemuda MCA juga mencadangkan supaya pengisytiharan aset diperluaskan merangkumi keluarga terdekat ahli-ahli Parlimen.

Ini kerana sebelum ini, rakyat tergamam ekoran pendedahan yang mengatakan Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan pemimpin ketiga paling kaya dengan pendapatan sebanyak RM75,861.57, dibelakang Lim Guan Eng (tempat pertama dengan RM86,464.92) dan Datuk Saifuddin Nasution (tempat kedua dengan RM77,629.68), walaupun umum menyedari bahawa anak-anak Tun Dr Mahathir adalah antara individu paling kaya dalam negara. Malah, Tan Sri Mokhzani Mahathir juga pernah disenaraikan oleh Forbes sebagai salah satu orang terkaya di dunia.   

Selain itu, kerajaan juga disaran agar melaksanakan akta baharu untuk kawal selia dana bagi aktiviti-aktiviti politik demi mengelak gejala rasuah dalam kalangan parti-parti politik ataupun kerajaan. 

Walaupun bukan isu baharu, tetapi ia harus dibangkitkan sekali lagi kerana kerajaan PH dilihat seakan tidak berminat untuk meneruskan isu ini. Memandangkan situasi politik sekarang, undang-undang kawal selia dana politik memang diperlukan, kerana undang-undang yang sedia ada hanya berkaitan dengan perbelanjaan pilihan raya.

Pada tahun 2015, BN pernah mencabar PKR dan DAP untuk mengisytiharkan punca dana mereka, malah BN juga sedia berbuat demikian; akan tetapi cadangan ini ditolak kedua-dua parti tersebut yang merupakan pembangkang pada masa tersebut. 

Sekarang, kedua-dua DAP dan PKR merupakan sebahagian kerajaan di bawah Pakatan Harapan. Jadi, apakah pendirian mereka terhadap pelaksanaan akta kawal selia dana politik?

-MCA online-