MCA tidak akan menyokong atau menyertai DS Anwar Ibrahim yang kononnya ingin menubuhkan kerajaan baharu
AGM peringkat Bahagian MCA akan diadakan dalam bulan November; AGM Negeri MCA diadakan serentak pada 5 Disember   

Walau cukup majoriti, MCA tetap tidak sokong Anwar - SU Agung

Pada Jumaat    16-10-2020 11:12:00

MCA telah membuat keputusan untuk tidak memihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha beliau membentuk kerajaan baharu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon menegaskan fokus parti itu ketika ini adalah untuk membantu kerajaan sedia ada dalam mengekang penularan COVID-19 serta memacu semula ekonomi negara.
"Biro politik (MCA) telah berbincang dan mengambil keputusan, kalau pun Anwar mempunyai sokongan yang cukup, MCA tetap tidak akan menyokong atau bersama beliau untuk menubuhkan kerajaan. Itu ketetapan yang diambil oleh MCA.
"Berkenaan undi tidak percaya (terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin), kita belum lagi berbincang dan belum bawa perkara ini kepada biro politik.
"Masih ada masa lagi sehingga pemanggilan sidang Parlimen akan datang," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Khamis.
Ditanya sekiranya ada kepimpinan UMNO yang memihak kepada Anwar, Sin Woon berkata MCA kekal dengan keputusan yang telah dibuat.
"Seperti saya katakan, keputusan yang telah kita ambil ialah kita tidak akan menyertai Anwar dalam pembentukan kerajaan baharu.
"Saya juga tidak berharap perkara ini akan berlaku pada waktu ini kerana rakyat ingin melihat kestabilan politik supaya fokusnya tertumpu untuk kembalikan kepada pemulihan ekonomi dan mengekang penularan COVID19," katanya.
Namun, beliau berharap supaya sebarang ketetapan yang akan dibuat oleh UMNO akan mengambil kira pandangan dan semangat permuafakatan Barisan Nasional (BN).
-Astro Awani-

Berita Berkatian

Tiada