16 Disember 2021

Kenyataan Media Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Melaka, Datuk Koh Chin Han 

KKM digesa kaji semula kenaikan kompaun yang melampau

Kelmarin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membentangkan cadangan dan pindaan kepada Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) di dalam Dewan Rakyat, antaranya kenaikan had maksimum denda individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dari RM1,000 ke RM100,000 dan 7 tahun penjara, manakala had maksimum denda untuk korporat yang langgar SOP dinaikkan dari RM50,000 ke RM2 juta.

Walaupun kenaikan denda ini berniat baik, iaitu untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, serta memberi kesedaran kepada mereka yang masih degil dan keras kepala, namun hukuman dan denda yang dicadangkan itu dilihat sebagai melampau, tidak selari dengan niat asal hukuman dikenakan di samping menambahkan beban rakyat.

Mana-mana pihak yang gagal mematuhi SOP sememangnya wajar dihukum, dengan tujuan mencegah jangkitan Covid-19. Namun begitu, penetapan hukuman yang terlalu keras dan denda yang terlampau tinggi dilihat tidak efektif. Ini kerana kebanyakan individu ataupun syarikat korporat tidak mampu membayar denda yang begitu tinggi, dan mereka mungkin terpaksa dipenjarakan.

Sebaliknya, demi mencapai kadar pematuhan SOP yang lebih baik, pihak KKM disaran mempertimbangkan kerja-kerja khidmat masyarakat dijadikan sebagai hukuman terhadap pesalah yang didapati melanggar SOP.

Selain itu, hukuman yang terlampu tinggi dan tegas juga dikhuatiri membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan kegiatan rasuah, dan ini akhirnya akan menjejaskan niat asal pelaksanaan SOP, iaitu untuk melindungi rakyat daripada jangkitan Covid-19.

-MCA online-