14 Januari 2020

Kenyataan media Ahli Jawatankuasa Pusat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial MCA Datuk Dr Lee Hong Tee

Wabak Influenza A serius, vaksin kurang bukti kerajaan tidak kompeten     

Wabak Influenza A (H1N1) yang bermula pada penghujung tahun lalu telah merebak dengan pantas sehingga meragut nyawa. Hospital-hospital penuh dengan pesakit. Wabak ini semakin hari semakin mengancam keselamatan.

Vaksin Influenza A sudah mula kehabisan stok pada Disember lalu. Rakyat di Pulau Pinang, Johor dan Selangor, terutamanya mereka yang mempunyai anak kecil, terpaksa hidup dalam kebimbangan dan ketakutan.

Semalam, Menteri Kesihatan Dato’ Sri Dzulkefly Ahmad berkata, masalah stok vaksin sudah diselesaikan. Namun apa yang rakyat lihat dan rasai adalah sebaliknya, iaitu vaksin masih kekurangan, malah ubat-ubatan juga tidak mencukupi.

MCA berasa sangsi, sama ada Kementerian Kesihatan betul-betul mengetahui keadaan sebenar. Dari mana ia mendapati informasi tentang vaksin yang mencukupi? Apabila kenyataan seorang menteri tidak bersandarkan fakta, ia amat tidak bertanggungjawab, malah mengecewakan.

Kerajaan nampaknya tidak mampu melakukan apa-apa terhadap penularan wabak H1N1 ini, malah tidak bertindak serius walaupun telah berlaku kematian, seolah-olah nyawa itu tidak penting.

Meskipun ancaman wabak Influenza A ini semakin mengancam dan pesakit semakin bertambah, kerajaan sehingga kini belum mengeluarkan apa-apa arahan mahupun pelan tindakan, malah tidak menyiarkan apa-apa informasi yang berkaitan. Pihak hospital seperti mati akal, hanya mampu menyuruh pesakit pulang ke rumah. Keadaan kerajaan yang tidak kompeten, pasif dan lembap telah menyebabkan rakyat berasa takut, bingung serta risau.

Keadaan ini sama dengan insiden pencemaran Sungai Kim Kim, Johor tahun lalu. Kedua-dua insiden ini mendatangkan kemarahan serta kerunsingan rakyat tehadap kelemahan kerajaan.

Hargai dan utamakanlah nyawa. Kerajaan haruslah mewujudkan mekanisme untuk mengatasi krisis ini, dengan memberikan penerangan yang menyeluruh kepada rakyat secara bersistematik, tersusun serta tepat pada waktunya, termasuk informasi tentang punca penyakit, cara-cara pencegahan, rawatan, penjagaan dan sebagainya. Maklumkan apa yang perlu dan tidak perlu dibuat, bukannya membiarkan pesakit kebingungan dan ketakutan.

Dalam situasi kekurangan vaksin sekarang ini, kerajaan juga perlu mencari jalan bagi mendapatkan lebih banyak vaksin dan mengagihkannya secara efektif untuk melindungi rakyat.

MCA mencadangkan:

  1. Kerajaan/Kementerian Kesihatan mewujudkan Jawatankuasa Bertindak Khas Influenza A khusus bagi menghadapi wabak ini serta menyebarkan informasi berkaitan;
  2. Jawatankuasa ini perlu mengadakan sesi taklimat sekurang-kurangnya sekali sehari, bagi melaporkan perkembangan terbaru wabak, termasuk jumlah pesakit, bilangan kematian, lokasi jangkitan, stok vaksin dan sebagainya;
  3. Mendirikan bilik gerakan khas di lokasi yang terjejas teruk, menyelaraskan pembahagian dan kaedah penggunaan ubatan serta vaksin, contohnya memberi keutamaan pengagihan ubatan dan vaksin hospital dan klinik kesihatan di kawasan terjejas teruk, atau mengutamakan hospital kerajaan dan sebagainya;
  4. Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab menyampaikan maklumat pencegahan bagi menenangkan orang ramai, ia perlu dilakukan secara sistematik dan tersusun, melalui pelbagai saluran dan platform;
  5. Mengumumkan sebab penularan wabak, mengkaji sama ada mana-mana pihak perlu dipertanggungjawabkan, serta menggariskan kaedah penyelesaian jangka panjang dan pendek.

**

Kumpulan berisiko tinggi dijangkiti virus serta kaedah pencegahan:

1. Kumpulan berisiko tinggi

  • Kanak-kanak berumur di bawah 5 tahun
  • Ibu mengandung
  • Warga emas berumur 65 tahun dan ke atas
  • Pengidap kencing manis, darah tinggi serta lain-lain penyakit kronik
  • Mereka yang berdaya imunisasi kurang akibat penyakit atau rawatan (kanser atau AIDS)
  • Golongan obes

2. Kaedah pencegahan:

  • Menerima suntikan vaksin Influenza A
  • Memakai topeng muka, menutup bahagian hidung dan mulut
  • Menutup dengan kertas tisu atau saputangan ketika bersin atau batuk
  • Rajin mencuci tangan

-MCA online-