18 Mac 2019

Kenyataan Media Jawatankuasa Pusat MCA

Bersandarkan Semangat Konsensus, Memartabatkan Nilai Kepelbagaian

Pilihan Raya Umum ke 14 pada 9 Mei 2018 lalu telah mengubah landskap politik Barisan Nasional. Kekalahan ini juga menyebabkan beberapa parti komponen, pemimpin dan ahli-ahlinya mengubah haluan sendiri dan berusaha untuk mengorak langkah ke hadapan.

Dalam persidangan Perhimpunan Agung ke 65 MCA Disember tahun lepas, parti telah mengemukakan satu resolusi iaitu memberi mandat kepada Jawatankuasa Pusat supaya memulakan proses pembubaran BN dan membentuk perikatan baharu.

Pada 8 Mac 2019, MCA yang diketuai Presieden Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah membentangkan resolusi tersebut dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional. Namun yang demikian, tiada konsensus dicapai berhubung usul yang dibentangkan. Namun apa yang perlu ditekankan ialah mengenai kesatuan politik yang terbentuk berasaskan kepelbagaian kaum untuk rakyat Malaysia. Biarpun mengharungi waktu sukar, semangat konsensus tetap wujud.

Kerjasama antara UMNO dengan PAS adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Namun yang demikian, mana-mana parti komponen yang berhasrat menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak seharusnya mengambil kira prinsip konsensus dan kepelbagaian dalam BN. Sedia maklum perbezaan ideologi politik antara PAS, MCA dan MIC merupakan perkara yang tidak dapat dinafikan, justeru itu BN perlu menghadapi situasi berkenaan seterusnya memastikan semangat dalam BN kekal terpelihara.

UMNO, MCA dan MIC perlu mengekalkan semangat konsensus yang terikat sekian lama sebagaimana termaktub dalam perlembagaan, manakala permuafakatan sebagai gabungan pembangkang harus diperhebatkan seterusnya dapat memainkan peranan semak dan imbang kerajaan pemerintah khususnya soal kebajikan dan ekonomi rakyat.

Ketika ini terdapat dua pilihan, sama ada MCA meninggalkan gabungan BN dan membiarkan politik perkauman yang ketara diamalkan di negara ini. Kedua, kekal bersama BN dan mengukuhkan kerjasama antara pelbagai kaum.

Jawatankuasa Pusat MCA memilih untuk kekal di dalam BN, MCA mahu memastikan tidak berlakunya kecondongan politik berteraskan perkauman antara Melayu dengan bukan Melayu. Soal kepelbagaian tidak boleh diketepikan dalam landskap politik.

MCA percaya bahawa pentingnya kewujudan landskap politik yang demokratik, toleransi, kepelbagaian dan kesederhanaan merupakan satu pilihan yang patut dilaksanakan. Ia pastinya sukar tetapi MCA bersedia untuk menghadapinya dengan penuh ketabahan.

-MCA online-