18 Mei 2022

Kenyataan media oleh Jurucakap MCA, Sdr Mike Chong

Tipu helah scammer yang hanya bermodalkan panggilan telefon: Masyarakat wajar lebih peka

Akhbar Harian Metro bertarikh 17 Mei 2022 semalam melaporkan kerugian sebanyak RM72,151,022 telah direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara membabitkan 2,239 kes penipuan “scammer” dalam tempoh hanya tiga bulan pertama tahun ini.

Malah, sepanjang tahun lalu iaitu ketika negara dilanda pandemik Covid-19, kes penipuan Macau Scam merekodkan lebih 1,585 kes membabitkan kerugian RM580.88 juta.

Dalam hal ini, MCA telah berkali-kali mengeluarkan kenyataan kepada orang ramai agar berhati-hati terhadap golongan ‘scammer’ yang menyamar sebagai polis, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN), Bank Negara Malaysia (BNM) atau Kastam Diraja Malaysia (KDRM), selain ‘scammer’ yang menjanjikan barangan murah dalam talian serta pekerjaan dengan gaji yang lumayan.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din, jumlah kerugian yang mencecah beratus juta ini jelas membuktikan rakyat Malaysia langsung tidak pernah 'belajar’ dan terus dipermainkan dengan modus operandi sama yang telah pun didedahkan polis sebelum ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan agensi-agensi lain juga sudah berulang kali memberi nasihat dan amaran supaya orang ramai tidak menjadi mangsa namun ternyata ia tetap berlaku.

Modus operandi scammer tetap sama dan tidak berubah dengan menyamar sebagai pegawai polis, kastam, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sebagainya.

Yang lebih menyedihkan, lebih 60 peratus mangsa yang diperdaya golongan scammer membabitkan golongan profesional termasuk T20 iaitu golongan dengan pendapatan isi rumah melebihi RM10,971 sebulan.

Biarpun mereka berpendidikan tinggi dan walaupun banyak tangkapan dilakukan polis dan turut disiarkan di media massa, sikap segelintir masyarakat yang tidak peka akan sumber maklumat semasa berhubung kes-kes penipuan di Malaysia menyebabkan mereka terpedaya.

Sekali lagi, MCA menggesa orang ramai agar jangan lalai dan jangan mudah terpedaya dengan dengan pujuk rayu atau gertakan suspek.

Seperti yang ditegaskan dalam laporan semalam, ada mangsa beranggapan 'status' kedudukan mereka yang berpendidikan tinggi, bekerjaya sebagai doktor, peguam, pensyarah dan sebagainya menyebabkan mereka tidak mudah menjadi sasaran sindiket.

Malangnya mereka ini tersalah tanggap dan memandang ringan isu membabitkan penipuan ini. Alasannya apabila disoal siasat polis, mereka mendakwa tidak sangka ditipu.

Orang ramai diingatkan bahawa pihak polis sama sekali tidak akan menjalankan siasatan melalui panggilan telefon semata-mata kerana saksi akan dikehendaki hadir di Bahagian Siasatan Pengubahan Wang Haram atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tujuan siasatan.

PDRM juga tidak akan sewenang-wenangnya membekukan atau menyita akaun bank milik sesiapa pun.

MCA sekali lagi menggesa orang ramai agar lebih cakna dengan isu semasa dan jangan memandang remeh nasihat yang diberikan yang berkaitan dengan penipuan scammer ini.

Sekiranya telah tertipu dengan scammer, usah terlalu memikirkan imej dan reputasi, sebaliknya, segera laporkan kepada pihak polis agar siasatan boleh dibuat.

-MCA online-