18 Mei 2022

Kenyataan media Saudara Chua Hock Kuan Naib Ketua Pemuda MCA Kebangsaan

Mengecam MRT3 tanpa asas, Chang Lih Kang tidak profesional

Naib Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Chua Hock Kuan membidas tindakan Ahli Parlimen PKR Tanjong Malim, Chang Lih Kang yang meminta kerajaan menghentikan sementara projek MRT3.

Hal ini kerana Chang Lih Kang membuat tanggapan yang tidak berasas terhadap projek MRT3. Malah, gesaannya bukan sahaja tidak profesional, tetapi tak masuk akal. 

Tegas Chua Hock Kuan, sesiapa yang mempunyai maklumat mahupun bukti yang sahih membabitkan projek MRT3 itu harus melaporkannya kepada pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), bukannya ‘berkokok’ di sana sini tanpa sebab.

“Mungkin kerana menghadapi pemilihan parti, justeru (dia) sengaja mengeluarkan kenyataan tanpa asas untuk mendapatkan publisiti murahan, namun saya percaya rakyat tahu menilai serta membuang yang keruh.”

Hock Kuan berharap, Lih Kang boleh bersikap lebih profesional sebagai seorang Ahli Parlimen dengan tidak melakukan propaganda politik murahan melalui serangan tanpa asas terhadap projek-projek infrastruktur mega negara, sehingga menimbulkan persepsi buruk dalam kalangan rakyat. 

Tambah Hock Kuan, projek MRT3 yang dijadualkan dimulakan tahun ini akan dapat meningkatkan kesalinghubungan antara pelbagai sistem pengangkutan awam serta melengkapkan lagi rangkaian pengangkutan rel awam di Lembah Klang.

“Apabila sistem pengangkutan awam bertambah baik, kerajaan mungkin akan menggubal beberapa dasar baharu bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian, selaras dengan usaha Malaysia dalam mengurangkan pelepasan karbon, dengan sasaran menjadi negara bebas karbon pada 2050.”

Beliau memberitahu, pakar-pakar ekonomi sependapat bahawa pengoperasian MRT3 nanti akan memberi manfaat kepada industri pembinaan, yang kebanyakannya kurang bermaya dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Justeru, kelulusan projek MRT3 oleh kerajaan adalah tepat pada masanya dan merupakan berita baik untuk industri tersebut.

Taktik Lih Kang hari ini tidak ubah seperti tindakan kerajaan Pakatan Harapan dahulu yang sengaja melambatkan pelbagai projek mega sehingga mengakibatkan kos yang meningkat dengan mendadak, termasuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang belum dipulihkan sampai sekarang, sekali gus menafikan peluang negara untuk memulihkan ekonomi, begitu menurut Hock Kuan.

-MCA online-