MCA hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan status projek terowong dasar laut dan 3 jalan raya bernilai RM6.3 bilion berikutan perkembangan yang disifatkannya sebagai percanggahan antara kenyataan agensi itu dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Presiden MCA Wee Ka Siong memberitahu FMT, pada 17 April Chow mengisytiharkan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan projek berkenaan kerana pihak yang dikatakan terbabit dalam siasatan agensi itu telah dilepaskan.

Chow berkata, SPRM menghantar 2 pucuk surat kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (Zenith) dan pengarah eksekutif kanannya, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, yang melepaskan mereka daripada salah laku berikutan gesaan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) supaya projek itu ditangguhkan sementara mnunggu siasatan siap dijalankan.

Bagaimanapun menurut Wee, terkini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dilaporkan berkata maklumat terperinci mengenai penyiasatan aktif itu tidak boleh didedahkan.