23 Julai 2021

Laman Kasih GoCare agih 10,000 bungkus makanan kepada keluarga memerlukan dan petugas barisan hadapan

Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) melalui Program Dapur Kasih GoCare, dengan kerjasama pengusaha-pengusaha restoran makanan sayuran (vegetarian) telah mengagihkan 10,000 bungkus makanan pada bulan lepas kepada hospital-hospital rawatan pandemik COVID-19, termasuk golongan memerlukan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, serta golongan gelandangan di kawasan-kawasan Pasar Seni dan Pudu.

Tatkala situasi pandemik yang semakin membimbangkan memberi kesan terhadap pelbagai bidang ekonomi serta mengakibatkan rakyat hidup dalam keresahan, Dapur Kasih GoCare BeMYHero telah mengadakan kolaborasi dengan beberapa restoran    makanan sayuran serta trak makanan. Bermula tahun 2020 lagi, CRSM bersama-sama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan telah mengagihkan 110,000 bungkus makanan kepada mereka yang memerlukan.

Selain itu, CRSM turut mengagihkan coklat berjenama Torku sumbangan TC and TC Sdn Bhd.

Semua bungkusan makanan oleh CRSM dan GoCare juga disertakan dengan alatan pencegahan pandemik serta ‘GoCare Happy Meal’ untuk kanak-kanak yang mengandungi coklat dan minuman buah-buahan. Sukarelawan CRSM juga berpakaian ala ‘Spiderman GoCare’ untuk menceriakan komuniti pada waktu sukar ketika ini.

Penasihat GoCare merangkap Ketua CRSM Kebangsaan, Dato’ Natalie Lim Chong Ly berkata, ketika mengagihkan bungkusan makanan kepada petugas barisan hadapan, didapati beberapa hospital rawatan pandemik sedang mengalami kekurangan peralatan. GoCare dengan segera telah melancarkan aktiviti bagi mendapatkan sumbangan daripada orang ramai dan mendapat sambutan menggalakkan. Sumbangan yang diterima termasuklah papan putih (whiteboard) untuk mencatat butiran pesakit, jam dinding, pelitup muka perubatan, pakaian perlindungan diri (PPE) dan sebagainya.

Menurut Chong Ly, kita tidak dapat meringankan beban petugas barisan hadapan, tetapi kita semua boleh menyampaikan penghargaan serta galakan melalui sumbangan makanan serta peralatan yang diperlukan. Orang ramai juga diseru menjaga kesihatan diri sebaik mungkin dan tidak keluar rumah jika tiada urusan penting supaya tidak menambahkan lagi beban para petugas barisan hadapan sekiranya kes jangkitan COVID-19 terus meningkat saban hari.

Beliau juga menyeru petugas-petugas NGO supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika mengagihkan sumbangan, serta berkoordinasi dengan pertubuhan lain untuk membuat pengagihan yang efektif kepada golongan yang memerlukan.

“Kami mendapati, adakalanya terdapat beberapa NGO mengagihkan makanan pada waktu dan tempat yang sama, terutamanya pada hujung minggu atau cuti umum. Ini dikhuatiri menyebabkan pembaziran kerana para penerima tentunya tidak dapat menghabiskannya pada hari yang sama. Mungkin kita boleh mengagihkan makanan kering yang boleh disimpan oleh penerima, serta pelitup separuh muka dan lain-lain alat pencegah pandemik bagi mengurangkan kadar jangkitan.”

Beliau sekali lagi menyeru supaya lebih ramai pengusaha trak makanan atau restoran menyertai Program Dapur Kasih ini, serta meminta orang ramai menyumbangkan makanan, makanan kering, wang ringgit mahupun alatan pencegah pandemik mengikut kemampuan masing-masing. Setiap sumbangan menandakan semangat bersatu-padu kita dalam memerangi pandemik. Mereka yang berminat untuk menghulurkan sumbangan, bolehlah melayari:

https://gocare.org.my/product/bmh-community-caring/  

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi hotline GoCare di talian 03 2203 3920 / 019 – 669 6278.

-MCA online-