Pemuda MCA mendakwa pembangkang sengaja mempolitik serta mengelirukan orang ramai berhubung larangan kerajaan mengadakan perhimpunan sempena PRN Melaka.

Jurucakapnya Ryan Ho Kwok Xheng berkata langkah tersebut - yang berkuat kuasa antara hari ini hingga 27 Nov - bertujuan untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

"Malangnya usaha ini disalah faham dan pembangkang dan mereka terus mengambil kesempatan untuk memutar belit serta mempolitikkannya.

"Kita tidak mahu berlaku lagi peningkatan kes Covid-19 seperti yang berlaku selepas PRN Sabah. Sudah tentu kita tidak mahu mengulangi perintah kawalan pergerakan menyeluruh semula," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ho juga berpendapat walaupun lebih banyak sektor dibuka serta dibenarkan beroperasi sekarang, ia tidak wajar dijadikan indikator untuk membenarkan kempen secara bersemuka dibenarkan.

"Ini PRN bukan pilihan raya umum, justeru boleh dijangkakan jentera parti dari seluruh negara akan bertumpu di Melaka,” katanya.

Ho menambah, keadaan hanya akan menjadi lebih rumit jika terdapat kluster yang tercetus akibat PRN Melaka dan kemudian merebak ke seluruh negara selepas itu, sama seperti keadaan di Sabah tahun lalu.

Mengingatkan kadar R-naught (Rt) Covid-19 di negara ini telah meningkat daripada 0.87 kepada 0.88 semalam, Ho berkata, terdapat pilihan alternatif untuk calon berkempen.

“Selama hampir dua tahun kita melaksanakan mesyuarat atau perbincangan secara maya. Justeru, tiada masalah untuk kita melaksanakan perkara yang sama bagi kempen PRN Melaka ini.

“Hakikatnya terdapat pelbagai pendekatan boleh digunakan untuk berkempen tanpa memerlukan aktiviti melibatkan perhimpunan fizikal.

“Saya yakin parti politik telah pun merangka strategi mereka untuk menghadapi pilihan raya ini dalam kebiasaan baharu,” katanya.

Ho turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memainkan peranan memantau setiap aspek kempen semasa pilihan raya nanti.

Katanya SKMM perlu memastikan kandungan kempen tidak menyentuh sensitiviti yang boleh membawa kepada perbalahan kaum serta fitnah.

“Media sosial pasti akan menjadi medium utama berkempen pada PRN ini.

“Justeru, SKMM perlu lebih tegas dan mengenakan tindakan sewajarnya kepada mereka yang menyalahgunakan platform ini untuk menyebarkan berita fitnah atau berita palsu,” tegasnya.

-Malaysiakini-