MCA Sabah mengalu-alukan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) YB Dato’ Sri Dr Haji Wan Junaidi Tunku Jaafar bahawa kerajaan bercadang membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan supaya ia lebih selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dalam mengembalikan hak rakyat Sabah dan Sarawak sepertimana yang termaktub di dalam MA63.


Langkah Menteri untuk melibatkan ahli-ahli Parlimen demi mendapatkan sokongan majoriti dua pertiga sepertimana yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, dan juga langkah melibatkan rakyat mengenai MA63, ia dilihat akan membantu memastikan pindaan ini dapat dibuat dalam semangat demokrasi di samping menerima sokongan bipartisan.

Dalam masa sama, harus juga ditekankan bahawa peruntukan MA63 adalah konsisten dengan konsep persekutuan sepertimana yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kepentingan Perjanjian Malaysia 1963

Perlembagaan Persekutuan, serta undang-undang yang berkaitan, harus dipinda untuk mengembalikan visi asal MA63, termasuk aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak apabila mereka bersetuju untuk membentuk negara Malaysia pada tahun 1963.

Oleh itu, ia amat penting bahawa apa yang dipersetujui pada asalnya di dalam MA63 akan ditegakkan atau dikembalikan semula demi kepentingan perpaduan negara dan prinsip keadilan.

Cadangan untuk dipertimbangkan

Beberapa perkara harus diambil kira apabila mengkaji pindaan yang bakal dibuat kerajaan untuk menjadikan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkaitan selaras dengan MA63. Sebagai permulaan, MCA Sabah mengemukakan TIGA cadangan kepada Kerajaan Pusat untuk dipertimbangkan dan diberi tumpuan:

(1) Perwakilan di Parlimen

Di dalam MA63, Dewan Rakyat sepatutnya terdiri daripada 159 ahli Parlimen, di mana 104 daripada mereka adalah dari Semenanjung Malaysia dan 55 dari Sabah, Sarawak dan Singapura. Ini akan memastikan bahawa tiada satu wilayah pun yang dapat memiliki majoriti dua pertiga (2/3) di dalam Dewan Rakyat.

Pada hari ini, Sabah dan Sarawak hanya diwakili 56 daripada 222 ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat, atau hanya 25.23%. Ini bermaksud Semenanjung Malaysia memiliki 166 kerusi, atau 74.77%. Ini jauh melebihi majoriti dua per tiga (atau 66.67%).

Oleh itu, MCA Sabah mencadangkan bahawa Perkara 46 (1) Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk mencerminkan MA63, demi memastikan bahawa Malaysia Barat atau Malaysia Timur tidak dapat membentuk majoriti dua per tiga di dalam Dewan Rakyat.

(2) Badan Kehakiman

(a) Pembentukan Mahkamah Tinggi

Di bawah MA63, setiap Mahkamah Tinggi hendaklah terdiri daripada seorang Ketua Hakim dan tidak kurang daripada empat (4) hakim lain, yang tidak boleh melebihi 12 hakim di dalam Mahkamah Tinggi Malaya, lapan (8) di dalam Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak (Mahkamah Tinggi Borneo sebelum 1994), dan 8 dari Mahkamah Tinggi di Singapura.

Namun, hari ini komposisi para hakim di Malaysia tidak mencerminkan apa yang dinyatakan di dalam MA63.

Oleh itu, MCA Sabah mencadangkan bahawa Kerajaan Pusat mengkaji semula keperluan meminda Perkara 122AA (1) Perlembagaan Persekutuan mengenai peruntukan jumlah hakim untuk Mahkamah Tinggi di Malaya dan Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak demi mencerminkan komposisi para hakim sepertimana yang dinyatakan di dalam MA63.

Selain itu, dicadangkan bahawa komposisi Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan turut memberi perwakilan yang lebih besar kepada Sabah dan Sarawak.

(b). Pelantikan Hakim

Di dalam MA63, Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah dan Sarawak boleh melantik Pesuruhjaya Kehakiman, namun kelayakan ini dimansuhkan susulan pindaan perlembagaan pada tahun 1994.

Oleh itu, MCA Sabah mencadangkan bahawa Kerajaan Pusat mengkaji semula jika pindaan 1994 tersebut telah mendapat persetujuan penuh Badan Perundangan Negeri Sabah dan Sarawak, di samping mengkaji keperluan meminda Perkara 122AB Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman untuk Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak oleh TYT Sabah dan Sarawak supaya ia lebih selari dengan MA63.

(3) Hak Wilayah dan Sumber Asli

Menurut Perintah Majlis Borneo Utara (Pengubahan Sempadan ) 1954, sempadan tanah jajahan Borneo Utara akan diperluaskan untuk merangkumi kawasan pelantar benua menjadi dasar laut dan tanah yang terletak di bawah laut lepas berpesisir dengan perairan wilayah Borneo Utara.

Selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963, undang-undang seperti Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) telah digubal, yang secara langsung mengurangkan kawasan perairan wilayah Sabah dan Sarawak.

Oleh itu, MCA Sabah mencadangkan bahawa Kerajaan Pusat mengkaji semula semua undang-undang yang memberi kesan kepada persempadanan Sabah dan Sarawak, dan meneliti jika undang-undang tersebut bercanggah dengan Perkara 2(b) Perlembagaan Persekutuan, di mana undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan Parlimen tanpa persetujuan Negeri itu, di mana persetujuan berkenaan akan dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu.

Ini mungkin merangkumi akta-akta lain seperti Akta Pelantar Benua 1966, Akta Kemajuan Petroleum 1974, dan Akta Laut Wilayah 2021, dan lain-lain lagi.

Kesimpulan

MCA Sabah berharap bahawa kerajaan Malaysia akan memulakan usaha untuk mengkaji kandungan MA63, dan juga kandungan Perlembagaan Persekutuan, demi melindungi hak Sabah dan Sarawak, seperti kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak di dalam Persekutuan Malaysia; isu tanah, pertanian dan perhutanan; kuasa kerajaan tempatan; kebebasan agama; hak istimewa dan hal ehwal orang Bumiputera; pendapatan negeri; cukai jualan negeri; geran istimewa; imigresen, dan bahasa, serta lain-lain lagi.

MCA Sabah juga menyeru semua ahli-ahli Parlimen supaya menjaga kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak apabila mengundi untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkaitan supaya ianya selaras dengan semangat MA63, yang merupakan asas kepada penubuhan Malaysia.

Hak Sabah dan Sarawak yang dinyatakan di dalam MA63 harus dipertahankan, dan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang yang bercanggah dengan semangat MA63 atau Perlembagaan Persekutuan 1963, harus dikaji semula untuk dibuat pindaan.

Lu Yen Tung
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Sabah,
28 Oktober 2021

-MCA online-