MCA kesal dengan tulisan Prof Teo Kok Seong yang diterbitkan di Utusan Malaysia semalam, 5 Julai 2022 yang mendakwa sekolah aliran Cina mengamalkan apa yang disifatkannya sebagai “lingkaran syaitan” iaitu sentimen kecinaan yang menolak etnik bukan Cina.

Dakwa Prof Kok Seong, warga pendidik yang majoritinya daripada etnik Cina dan lepasan sekolah Cina, tidak mengendahkan murid bukan etnik Cina yang bersekolah di sekolah Cina, tidak bergaul mesra, tidak bekerjasama, malah, tidak mahu membantu murid bukan Cina yang menghadapi masalah pendidikan serius.

Menurutnya lagi, murid bukan Cina akan disuruh berpindah ke sekolah lain sekiranya tidak cemerlang atau gagal menguasai bahasa Mandarin dengan baik semata-mata mahu menjaga reputasi sekolah tersebut.

Ini adalah dakwaan songsang yang sangat serius terhadap sekolah Cina dan boleh mengundang suasana yang tidak harmoni dalam kalangan masyarakat. Tidak sepatutnya institusi pendidikan dijadikan alat pemecah-belah masyarakat dan lebih menyedihkan, para guru yang bersungguh-sungguh bagai 'lilin membakar diri' mendidik anak-anak murid tanpa mengira agama, kaum dan latarbelakang turut diperlekehkan.

Sebagai seorang yang berpendidikan tinggi dan cintakan keharmonian Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, Prof Teo sepatutnya membantu memainkan peranan memupuk perpaduan negara. Dalam masa sama, menghormati Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunjang serta kekuatan negara ini.

Hakikatnya, kewujudan sekolah vernakular di negara ini tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, malah turut diperakui oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Disember 2021 dan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 29 Mei 2022 apabila ianya dicabar menerusi proses perundangan.

Justeru, MCA berharap isu seperti ini tidak dimainkan lagi atau dipolitikkan kerana ianya berupaya merosakkan perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia. Seharusnya, kepelbagaian yang menjadi kekuatan kita selama ini dipertahankan kerana ia adalah khazanah terpenting bagi Malaysia.
Sekiranya timbul isu terpencil, ia perlulah ditangani dengan ikhlas dengan menggunakan saluran yang betul dan bukannya 'pukul rata' seperti pepatah, 'kerana seekor nyamuk, kelambu dibakar'. MCA sedia membantu dan bersama-sama Prof Teo dalam menangani isu ini, sekiranya beliau bersedia menyenaraikan nama-nama sekolah yang didakwanya seperti yang disiarkan dalam Utusan Malaysia.

Chen Fan Chong
Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan MCA
6 Julai 2022