Kerajaan memberi jaminan bahawa kapal asing masih lagi dapat membuat kerja pembaikan kabel dasar laut sekiranya kapal tempatan tidak berupaya melakukannya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong malah berkata, kapal asing boleh digunakan jika kapal tempatan itu berada terlalu jauh daripada tempat yang memerlukan kerja tersebut.

“Dalam sesi dialog, saya sendiri memberikan jaminan kerja baik pulih kerosakan kabel dasar laut boleh diserah kepada kapal asing sekiranya kapal tempatan tidak dapat buat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian menerusi hantaran dalam akaun media sosial dirinya itu bagi memaklumkan telah mengadakan sesi dialog bersama syarikat gergasi teknologi maklumat.

Ia diadakan di Kementerian Pengangkutan secara atas talian menerusi televideo itu bagi memberikan pencerahan berhubung penarikan balik pengecualian Dasar Kabotaj Negara.

Mengulas lanjut Ka Siong berkata, pendirian beliau dan kementerian itu juga adalah jelas bagi memelihara kepentingan industri perkapalan negara serta memanfaatkan rakyat Malaysia.

“Pada masa sama, saya menegaskan keputusan itu bukanlah sekat syarikat atau kapal asing, jauh sekali menolak kemasukan pelaburan asing seperti dituduh pembangkang,” katanya lagi.

Tanpa menamakan sesiapa, beliau merujuk dakwaan menteri terdahulu, Anthony Loke dalam sesi Dewan Rakyat baru-baru ini yang berang kerajaan membatalkan polisi itu secara senyap.

Ka Siong juga menyangkal tuduhan pihak pembangkang kononnya arahan baharu itu dibuat tanpa sebab kukuh kerana beliau mengambil kira pelbagai pertimbangan sebelum diwartakan.

“Antaranya bagi mengurangkan aliran keluar wang asing dalam bentuk pembayaran fret atau perjanjian penyewaan kapal dan insurans dalam Akaun Imbangan Bayaran Negara,” katanya.

Bahkan ini tegasnya, bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terjamin dengan kurang operasi kapal asing di perairan Malaysia serta pembangunan sumber warga tempatan.

Kementeriannya juga membina sistem elektronik bagi memudahkan permohonan lesen dan membolehkan kapal asing jika kapal tempatan disahkan tidak dapat melakukan kerja tertentu.

Ini ujarnya demi memastikan kapal itu berada di tempat yang memerlukan pembaikan kabel dengan seberapa cepat mungkin agar tidak beri kesan kepada jaringan internet di Malaysia.

“Sudah tentu ada kapal tempatan yang berupaya ganti kapal asing, malah kepakaran mereka telah pun digunakan luas di luar negara seperti Indonesia, Taiwan dan Jepun,” ujar Ka Siong.

Justeru, beliau dalam nada sinis berkata, keadaan janggal sekali jika mereka boleh pula buat kerja itu di banyak negara, tetapi tidak diberikan peluang untuk bekerja di perairan Malaysia.

Susulan sesi dialog itu, beliau meluluskan pembatalan pengecualian di bawah Seksyen 65U Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang diwartakan melalui PU (B) 592 mulai 15 November.

-UTUSAN ONLINE