MCA menggesa pihak pembangkang untuk tidak berterusan mempolitikkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) 3.0 yang telah diputuskan oleh kerajaan pusat baru-baru ini kerana ia dibuat demi kebaikan rakyat Malaysia.

Jurucakap MCA, Mike Chong dalam sidang media yang diadakan di Wisma MCA hari ini turut memulangkan ‘paku buah keras’ kepada beberapa EXCO Negeri yang melontarkan kecaman tanpa asas terhadap Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) berhubung projek ECRL 3.0 ini.

"Pelbagai kecaman dilontarkan oleh pemimpin termasuk Ahli EXCO kerajaan Selangor, Dato’ Teng Chang Khim dan Ahli EXCO kerajaan Negeri Sembilan, Teo Kok Seong. Kedua-duanya dilihat telah mempolitikkan isu tersebut serta menyerang (MoT) secara emosional dan populis.

"Lebih malang, sesetengah laman media sosial pro- Pakatan Harapan (PH) yang dimiliki pembangkang telah menyebarkan berita palsu dan cerita rekaan secara berterusan untuk memfitnah serta memperlekehkan MoT serta projek ECRL 3.0 secara keseluruhannya," katanya lagi.

Sebelum ini, Chang Khim telah mendakwa kerajaan pusat seolah-olah 'membuli' negeri Selangor kerana melaksanakan Jajaran Utara (Gombak - Serendah) dan bukan Jajaran Selatan (Negeri Sembilan - Putrajaya) tanpa merujuk dengan kerajaan Selangor terlebih dahulu.

"Saya ingin memberi info tepat kepada YB (Chang Khim) kalau beliau tidak sedar. Kita (pihak kementerian) telah mula melakukan perbincangan dengan kerajaan Selangor sejak bulan Julai 2020, dan kita juga telah mengadakan sesi libat urus sebanyak 37 kali dengan 17 buah agensi kerajaan negeri Selangor.

"Jadi saya nak tanya kepada YB, beliau sebagai EXCO Negeri, takkan YB tidak sedar adanya sesi dan mesyuarat yang diadakan dengan agensi kerajaan negeri Selangor? Saya rasa tidak adil bila YB mendakwa kerajaan pusat telah membuli kerajaan Selangor kerana kelulusan ECRL 3.0 ini," tegasnya.

Mike yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Biro Publisiti MCA turut menyelar dakwaan Chang Khim bahawa projek ECRL 3.0 ini tidak dapat memberi manfaat kepada Pelabuhan Klang.

"YB seperti tidak jelas dengan perancangan ECRL 3.0 ini. Kalau ikut perancangan MoT, kita akan masukkan (yang dulu dikenali) Senai Bypass sebagai sebahagian daripada projek ECRL 3.0 dimana kita akan membina lagi trek tambahan sehingga ke Pelabuhan Klang yang dapat mengelakkan masalah 'double handling'.

"Sebab itu saya ingin menggesa sekali lagi kepada YB untuk dapatkan info yang tepat sebelum berucap," katanya.

Mike turut menangkis dakwaan dangkal Kok Seong bahawa kelulusan Jajaran Utara ECRL 3.0 itu sebagai perbuatan yang menganaktirikan rakyat Negeri Sembilan.

"Beliau minta Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan untuk membantah projek ini kerana kerajaan pusat seolah-olah menganaktirikan negeri kelahirannya.

"Saya ingin mengatakan retorik politik yang diamalkan Kok Seong sangat tidak matang. Takkan kerana kampung kelahiran Setiausaha Agung MCA di Negeri Sembilan, jadi beliau gunakan alasan ini untuk membantah?

"Saya berasal dari Tumpat, Kelantan. Kalau ikut perancangan ECRL 1.0, ada satu stesen di Tumpat, tapi telah dimansuhkan oleh kerajaan PH, jadi adakah sebab saya anak jati Kelantan, saya perlu bantah projek yang memberi kebaikan kepada rakyat dan anak cucu kita nanti?," soalnya.

Mike turut menegaskan politik yang dibawa oleh pihak pembangkang ini tidak matang dan mereka seharusnya melihat kebaikan pelaksanaan projek ECRL ini secara keseluruhannya.

"Politik yang dibawa oleh mereka ini tidak munasabah, tidak matang dan macam budak-budak. Kita tidak membuli mana-mana negeri. Sepatutnya kita ketepikan ideologi politik masing-masing dan berhenti mempolitikkan isu ECRL yang akan memberi kebaikan kepada rakyat di negara ini," katanya.

Pada 5 April lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong telah mengumumkan projek ECRL akan ditambah baik dan kembali semula ke laluan asalnya, iaitu Jajaran Utara dengan kos anggaran pembinaan sebanyak RM50 bilion. Jajaran baharu yang dikenali sebagai ECRL 3.0 itu dilaksanakan setelah mengambil kira hasil perbincangan dan permuafakatan dengan pihak berkepentingan yang terbabit dengan projek ECRL seperti kerajaan negeri, agensi kerajaan persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan serta pemain industri. 

 


-MCA online-