KUANTAN: Pengendalian kargo di Pelabuhan Kuantan di sini diunjurkan meningkat sebanyak lima peratus tahun ini daripada 22.9 juta tan metrik setahun yang dicatatkan tahun lalu, selepas terkesan dengan pandemik COVID-19.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata kementerian itu menjangkakan kemasukan kapal ke pelabuhan yang mula beroperasi sejak tahun 1984 itu akan kembali rancak, dengan kehadiran lebih ramai pelabur ke bandar raya Kuantan selain sektor ekonomi yang semakin pulih selepas pasca COVID-19.

Beliau berkata, berdasarkan statistik tahun lalu, sebanyak 22.9 juta tan pengendalian kargo diuruskan berbanding 27.3 juta tan pada 2020.

Katanya, penurunan itu disebabkan penularan wabak COVID-19 hingga memberikan kesan terhadap jumlah pengendalian kargo.

"Bagaimanapun, tahun ini Pelabuhan Kuantan menjangkakan peningkatan lima peratus berdasarkan perkembangan positif ekonomi serta pelaburan asing," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pelabuhan Kuantan dan melancarkan Polisi Hijau Pelabuhan Kuantan (2021-2030) di Konsortium Pelabuhan Kuantan (KPC) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuantan, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Dalam perkembangan sama, Ka Siong berkata, kerja pembesaran dermaga terminal laut dalam Pelabuhan Kuantan dirancang bagi menampung permintaan jumlah kargo yang lebih banyak pada masa akan datang.

Ketika ini, katanya, Pelabuhan Kuantan boleh mengendalikan kargo sebanyak 50 juta tan metrik setahun.

"Berdasarkan perancangan, pembesaran dermaga terminal laut dalam sedia ada di Pelabuhan Kuantan sepanjang satu kilometer itu akan dapat meningkatkan kapasiti kargo sebanyak 20 juta tan, manakala pembangunan fasa berikutnya membabitkan penambakan untuk benteng pemecah ombak dan terminal baharu.

"Ia akan meningkatkan pelaburan dan kegiatan import dan eksport di Kuantan, selain kedudukan Pelabuhan Kuantan di Laut China Selatan menjadikannya sebagai laluan penting ke Jepun dan China.

"Ketika ini, urusan berkaitan pembesaran Pelabuhan Kuantan dalam perbincangan yang diharap dapat dilaksanakan," katanya.

Walaupun tiada tarikh jangkaan bagi kerja pembesaran fasa kedua, Ka Siong berkata, beliau difahamkan ia dalam proses rundingan bersama pelabur berpotensi dan berada di peringkat akhir, yang diharapkan dapat dimuktamadkan segera.

Ka Siong juga berharap, proses itu dapat diselesaikan dalam tempoh sama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka siap iaitu pada Disember 2026, memandangkan laluan itu bakal menjadi 'jambatan darat' antara Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang, Selangor yang akan memudahkan proses penghantaran kargo selain menjimatkan masa dan kos.

"Pembesaran ini perlu bagi memenuhi keperluan semasa yang semakin pesat dengan kewujudan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di sini selain Pelan Pembangunan Khas Gebeng di Kuantan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Pahang.

"Ini akan meningkatkan pelaburan dan kegiatan import eksport di Kuantan, selain kedudukan Pelabuhan Kuantan di Laut China Selatan, menjadikannya sebagai laluan penting ke Jepun dan China berbanding Pelabuhan Klang atau di Pulau Pinang yang perlu ke selatan tanah air sebelum masuk ke Laut China Selatan," katanya.

Berhubung polisi hijau Pelabuhan Kuantan, Ka Siong berkata, antara lain ia membabitkan objektif memastikan mutu kebersihan udara, darat dan laut serta pengurusan sisa sentiasa berada di tahap unggul, memperluaskan aspek kecekapan penggunaan sumber tenaga dan air serta memacu ke arah ekosistem operasi pelabuhan pintar.

Terdapat lima teras strategik bagi mencapai objektif itu antaranya melaksanakan inisiatif mengurangkan jejak karbon di pelabuhan, mengurangkan tahap pencemaran udara dan laut di pelabuhan serta kawalan pengurusan sisa buangan yang teratur.

- BERITA HARIAN