Kerajaan DAP Pulau Pinang dianggap sombong dan tidak prihatin terhadap penduduk Pulau Pinang apabila mereka tekad meneruskan projek pembinaan tiga asrama warga asing di Teluk Kumbar walaupun menerima bantahan kuat daripada penduduk tempatan.

Ketiga-tiga asrama tersebut dijangka menempatkan seramai 50,000 pekerja asing, dan telah meningkatkan kegusaran rakyat negeri yang terpaksa bertahan dengan dasar-dasar pro pemaju oleh kerajaan negeri sepanjang 13 tahun ini.

Apakah niat sebenarnya kerajaan DAP ini? Dalam manifesto PRU14 pada tahun 2018, mereka berjanji untuk mengurangkan kebergantungan terhadap warga asing, malah sering kali mengkritik kerajaan terdahulu kerana membawa masuk pekerja asing. Mereka membangkitkan isu keselamatan dan kewarganegaraan seolah-olah mereka jaguh rakyat, sehingga sanggup memfitnah pekerja-pekerja asing ini sebagai “pengundi hantu” yang menyokong kerajaan terdahulu. '40,000 pengundi Bangladesh' antara 'senjata' kempen pilihan raya suatu ketika dahulu.

Akan tetapi, hari ini kerajaan negeri yang diterajui DAP ini pula seakan 'cakap tak serupa bikin'. Betapa hipokrit mereka ini sehingga janji-janji manifesto mereka boleh dilupakan dan suara penduduk tidak diendahkan?

Lokasi projek asrama tersebut juga dipertikai kerana kawasan Teluk Kumbar ini bukanlah kawasan perindustrian, tetapi merupakan kawasan kampung nelayan. Tempat ini juga terkenal kerana memiliki pantai yang indah dan tapak warisan. Malangnya, kerajaan DAP tidak membangunkan kawasan ini sebagai tarikan pelancong.

Sejak berkuasa di Pulau Pinang, kerajaan DAP telah meluluskan pelbagai projek pembangunan tanpa mengendahkan suara atau kepentingan rakyat sehingga telah merosakkan alam sekitar (pembersihan hutan di Bukit Relau a.k.a Bukit Botak), membazirkan wang rakyat (terowong dasar laut) dan membahayakan keselamatan penduduk (tanah runtuh sehingga meragut nyawa).

Walaupun isu pembinaan asrama warga asing ini pernah dibangkitkan oleh ADUN Bayan Lepas dari blok kerajaan negeri sendiri, malangnya tiada sebarang perubahan dibuat. Adakah cukup sekadar melabelkan ADUN Bayan Lepas dan NGO-NGO yang membantah hasrat kerajaan negeri DAP ini sebagai 'barua Barisan Nasional' hanya kerana memperjuangkan suara rakyat?

Mike Chong Yew Chuan
Jurucakap MCA
25 Januari 2022