Kementerian Pengangkutan mengarahkan semua syarikat perkhidmatan e-hailing memberi penjelasan selewat-lewatnya Selasa depan, berhubung aduan kenaikan tambang perkhidmatan mereka sejak akhir-akhir ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pihak kementerian sudah memanggil semua syarikat e-hailing terbabit dalam usaha menangani isu berkenaan.

"Saya meminta syarikat berkenaan menerangkan justifikasi sekiranya harga itu dinaikkan kerana kita tidak mahu ia menjadi punca membebankan rakyat.

"Kita akan melihat jika ada mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan atas kenaikan harga ini," katanya pada sidang media selepas melawat Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park, di sini, hari ini.

Isu timbul apabila ramai pengguna mengadu tambang perkhidmatan e-hailing semakin mahal dan perkhidmatan sukar didapati pada waktu puncak.

Tambang itu didakwa meningkat mendadak hingga 400 peratus pada waktu puncak sehingga mencetuskan tidak puas hati pengguna dan pelbagai pihak lain yang menyifatkannya sebagai tidak masuk akal, sekali gus menggesa campur tangan kerajaan, termasuk untuk mengawal selia harga.

Mengulas lanjut, Ka Siong menegaskan, harga tambang tidak wajar dinaikkan jika syarikat e-hailing memberi alasan kesesakan lalu lintas ketika ini.

"Dulu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), trafik sesak juga. Oleh itu, kenapa apabila keadaan jalan kembali sesak pada masa ini, harga perlu naik hingga membebankan rakyat?

"Apa yang penting, kita (Kementerian Pengangkutan) mahu melihat kesahihan aduan rakyat, sama ada benar harga tambang e-hailing meningkat berbanding sebelum ini," katanya.

Malah, beliau berkata, kementerian juga akan meneliti, sama ada perlu mewujudkan persaingan dalam kalangan syarikat e-hailing bagi memastikan harga terkawal.

-Berita Harian-